GSF 2.0: Razman selesai jalani pembedahan, berisiko naik pesawat

GSF 2.0: Razman selesai jalani pembedahan, berisiko naik pesawat

SEPANG – Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) memaklumkan kecederaan serius yang dialami seorang aktivis, Razman Mat Ali, amat berisiko menaiki pesawat untuk pulang ke Malaysia.

Ketua Pengarahnya, Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, Razman disahkan mengalami ‘traumatic pneumothorax’ atau paru-paru bocor dan selamat menjalani pembedahan di Istanbul, Turkiye.

Menurut beliau, keadaan aktivis itu dilaporkan stabil dan memerlukan rawatan selama 21 hari di negara itu.

“Doktor tidak membenarkan beliau menaiki penerbangan buat masa ini kerana tekanan udara boleh memburukkan lagi kecederaan sehingga boleh mengakibatkan kematian.

“Razman turut berada dalam keadaan berisiko tinggi mendapat jangkitan susulan kecederaan dialaminya itu,” katanya ketika berucap pada Himpunan Solidariti Kepulangan Aktivis Kemanusiaan GSF 2.0 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini pada Ahad.

Sani Araby berkata, pasukan perundangan Pusat Kajian Hak Asasi Manusia dan Advokasi (Centhra) sempat melawat Razman di hospital bagi mendapatkan keterangan berkaitan insiden yang berlaku.

“Kita berjaya melawat beliau walaupun keadaannya tidak begitu selesa kerana risiko jangkitan selepas pembedahan.

“Sesi bersama pasukan perundangan sangat penting bagi membolehkan segala bukti dan keterangan direkodkan,” katanya.

Tambah beliau, seorang wakil Sumud Nusantara juga ditempatkan di Turkiye bagi menemani dan membantu menguruskan keperluan Razman sepanjang menerima rawatan.

Dalam pada itu, Sani Araby menyifatkan ketabahan ditunjukkan Razman amat luar biasa walaupun berdepan kecederaan serius.

“Insiden menimpa Razman bukan kes terpencil kerana kebanyakan aktivis yang ditahan didakwa turut mengalami penderaan fizikal sepanjang berada dalam tahanan,” katanya.

Razman merupakan antara 29 rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF 2.0 bagi menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza sebelum misi berkenaan dipintas tentera rejim Zionis.

Scroll to Top