PUTRAJAYA – Pengaruh beberapa pemimpin utama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilihat mungkin menjadi talian hayat terakhir parti itu dalam keadaan ia semakin terkesan akibat perpecahan dalaman.
Pergolakan berterusan dalam parti menyaksikan beberapa pemimpin dan Ahli Parlimen Bersatu dikenakan tindakan disiplin sejak dua tahun kebelakangan ini melibatkan pemecatan, penggantungan serta penamatan keahlian.
Daripada 31 kerusi Parlimen yang dimenangi Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), sebahagian besar wakil rakyat parti itu kini terkesan dengan pelbagai tindakan disiplin sehingga mewujudkan persepsi bahawa kekuatan parti berkenaan tidak lagi tertumpu kepada struktur organisasi semata-mata.
Penganalisis politik, Mujibu Abd Muis berkata, dalam keadaan semasa Bersatu semakin terkesan akibat perpecahan dalaman, kekuatan parti itu kini lebih bergantung kepada faktor personaliti pemimpin tertentu.

Mujibu
Menurut beliau, Bersatu masih mempunyai ruang untuk bertahan sekiranya beberapa tokoh utama parti terus memainkan peranan besar dalam menarik sokongan rakyat.
“Bersatu mungkin masih ada kekuatan daripada aspek personaliti terutama tokoh-tokoh utama parti seperti Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Setiausaha Agung, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Naib Presiden, Datuk Seri Dr Mohd Radzi Md Jidin serta beberapa lagi top gun mereka.
“Itu mungkin kekuatan terakhir yang masih boleh membantu Bersatu untuk terus kekal relevan dalam politik semasa,” katanya kepada Sinar Harian.

Penganalisis berpandangan pengaruh beberapa tokoh utama termasuk Muhyiddin (kiri), Radzi (dua dari kiri) dan Azmin (tiga dari kanan) kini menjadi antara sandaran penting dalam mengekalkan relevansi parti.
Mengulas kemampuan Bersatu bergerak secara bersendirian, Mujibu berpandangan perkara itu bukan sesuatu yang mudah memandangkan parti tersebut selama ini banyak bergantung kepada sokongan akar umbi Pas.
Katanya, kehilangan dukungan Pas bukan sahaja memberi kesan kepada undi Melayu konservatif, malah berpotensi menjejaskan sokongan pengundi tengah yang menjadi faktor penting dalam pilihan raya akan datang.
“Kalau Bersatu tanpa Pas sudah tentu ia akan jejaskan sokongan undi Pas kepada Bersatu yang saya lihat sangat signifikan dalam pilihan raya lalu.
“Bukan itu sahaja, mereka juga mungkin kehilangan sokongan daripada kumpulan tengah atau central voters yang amat diperlukan dalam pilihan raya akan datang,” ujarnya.

Tambah Mujibu, Pas yang kini dilihat semakin dominan dalam PN meletakkan Bersatu pada kedudukan lebih defensif berbanding sebelum ini.
“Saya nampak kenyataan ini mungkin disebabkan Bersatu dalam konteks sekarang yang telah terpecah dua. Itu sudah tidak begitu meyakinkan, bukan sahaja kepada pengundi tetapi juga kepada Pas sendiri.
“Pas melihat kekuatan Bersatu yang terbelah itu tidak lagi menguntungkan PN dan dalam keadaan semasa Pas merasakan mereka mempunyai lebih banyak kelebihan dalam konteks politik Melayu,” ujarnya.
Beliau berpandangan situasi semasa meletakkan Bersatu berdepan cabaran lebih besar untuk membuktikan parti itu masih mampu kekal relevan sekiranya terpaksa bergerak tanpa Pas.



