syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon dan penyanyi, Nadia Aqilah, meminta orang ramai agar tidak terus menghukum, sebaliknya memberikan ruang dan peluang kepada penyanyi muda, Aisha Retno, yang dipilih menerajui watak utama sebagai Puteri Gunung Ledang dalam pementasan teater Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLM).
Nadia, 41, yang bakal menggalas tanggungjawab besar memegang watak Bayan dalam naskhah arahan Puan Sri Tiara Jacquelina itu berkata, bukan satu tugas mudah untuk seseorang pelakon berdiri di atas pentas teater.
“Kadang-kadang kita pun tak tahu apa yang akan berlaku di depan kita. Bukan mudah untuk berada di atas pentas dan ia memerlukan komitmen serta dedikasi yang tinggi.
“Jadi tidak salah kalau kita beri peluang kepada generasi muda. Sama ada mereka ada pengalaman atau tidak, beri peluang dahulu, kemudian barulah kita nilai,” katanya kepada Harian Metro.
Sebelum ini, pemilihan Aisha Retno sebagai Puteri Gunung Ledang mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen di media sosial, di mana ada yang menyatakan sokongan dan tidak kurang juga yang meragui kemampuan penyanyi berkenaan.
Berkongsi mengenai pengalamannya sendiri dalam menembusi projek besar terbitan Enfiniti Productions itu, Nadia mengakui proses uji bakat yang dilaluinya sangat sengit dan mencabar.
“Hidup saya memang penuh dengan ‘audition’ (uji bakat) sejak dahulu dan setiap proses itu memang mencabar. Bagaimanapun, kalau dengan Enfiniti, cabarannya 10 juta kali lebih hebat kerana mereka semua sudah seperti sebuah keluarga. Jadi, timbul rasa tidak mahu mengecewakan mereka.
“Tapi saya rasa kita memang perlu melalui proses itu sebab kalau tidak, kita akan terus duduk dalam zon selesa. Kalau kita pergi ‘audition’ dan tak dapat pun, apa perkara paling buruk yang boleh berlaku? Tak dapat sahaja. Tetapi sekurang-kurangnya kita sudah cuba dan tahu apa yang perlu diperbaiki,” katanya.
Nadia turut menegaskan bahawa proses uji bakat adalah satu lumrah yang sangat normal bagi setiap anak seni tanpa mengira status atau jangka masa pembabitan mereka dalam industri hiburan.
“Saya rasa ‘audition’ ialah proses yang sangat normal untuk seorang pelakon, terutama pelakon pentas. Di Broadway atau di Hollywood sekalipun, semua orang tetap perlu melalui ‘audition’ walaupun umur mereka sudah mencecah 40 atau 50 tahun.
“Kadang-kadang seseorang itu adalah pelakon yang hebat, tetapi barangkali tidak sesuai dengan watak tertentu. Jadi semua pelakon perlu melalui proses itu supaya kita tahu tahap kita di mana. Itu prinsip yang saya pegang,” katanya.
Selain Nadia, watak Bayan juga akan turut dipegang oleh penyanyi, Mimifly manakala watak Puteri Gunung Ledang akan turut dijayakan pelakon, Mila Mohsin selain Aisha.
© New Straits Times Press (M) Bhd




