London: Antonio Conte menggesa Persekutuan Bola Sepak Itali melantik Pep Guardiola sebagai ketua jurulatih baharu pasukan kebangsaan Itali.
Conte mengumumkan pengunduran daripada Napoli, Ahad lalu selepas pasukan itu menamatkan saingan Serie A di tempat kedua, 11 mata di belakang juara, Inter Milan.
Bekas pengurus Chelsea dan Tottenham itu kuat dikaitkan dengan kemungkinan kembali membimbing pasukan kebangsaan Itali selepas mereka gagal layak ke Piala Dunia 2026 musim panas ini.
Bagaimanapun, selepas perlawanan terakhirnya bersama Napoli yang berakhir dengan kemenangan 1-0 ke atas Udinese, Conte menjelaskan Guardiola adalah pilihan utamanya untuk mengendalikan Itali yang kini tidak mempunyai jurulatih selepas Gennaro Gattuso meletakkan jawatan bulan lalu.
“Ramai bercakap mengenainya. Saya ingat apa yang saya katakan mengenai pasukan kebangsaan iaitu dalam senarai calon, saya juga akan memasukkan nama Conte. Hari ini pun masih belum ada presiden persekutuan,” kata Conte.
“Nama Guardiola juga disebut tetapi adakah persekutuan bersedia mendapatkan jurulatih terbaik? Memiliki jurulatih seperti itu hadir bersama tanggungjawab selain penghormatan.
“Buat masa ini tiada apa-apa dan saya tidak tahu apa akan berlaku pada masa depan. Jika anda mahukan jurulatih terbaik, nasihat saya adalah Guardiola, tetapi adakah dana mencukupi?”
Sementara itu, Guardiola mengucapkan selamat tinggal kepada Manchester City, Ahad lalu selepas mengesahkan keputusan meninggalkan kelab itu minggu lalu.
Guardiola kini mahu berehat daripada dunia kejurulatihan selepas sedekad bersama City, namun dia bersetuju memegang peranan sebagai duta global untuk City Football Group (CFG).
“Ini masa yang tepat. Buat seketika saya pasti tidak akan merinduinya,” kata Guardiola selepas aksi terakhir musim City yang berakhir dengan kekalahan 1-2 di laman sendiri kepada Aston Villa.
“Saya benar-benar merasakan keputusan ini adalah keputusan tepat untuk kelab dan pemain. Saya berterima kasih kepada kelab kerana menghormatinya dan mereka memahami situasi itu.
“Saya sangat penat. Serius, saya sangat penat. Saya sudah lakukan segala-galanya. Kami sudah lakukannya.
“Kenangan saya di Barcelona dan Bayern Munich memang sukar ditandingi tetapi memori sepanjang 10 tahun di sini lebih banyak daripada tempat lain.
“Tanpa trofi saya mungkin sudah dipecat, tetapi bukan trofi dalam kabinet di rumah yang membuatkan saya gembira.
“Ia adalah kenangan dan hubungan yang saya bina sejak hari pertama bersama bandar ini, kakitangan dan para pemain.”
© New Straits Times Press (M) Bhd




