Pasukan perubatan di Makkah pulihkan penglihatan dua jemaah haji

Pasukan perubatan di Makkah pulihkan penglihatan dua jemaah haji

Makkah: Pasukan perubatan di Bandar Perubatan Raja Abdullah, sebahagian daripada Kluster Kesihatan Makkah, berjaya menyelamatkan penglihatan dua jemaah haji, masing-masing warga Mesir dan Maghribi.

Ia dilakukan menerusi intervensi perubatan segera selepas kedua-duanya mengalami masalah mata kritikal yang hampir menyebabkan kehilangan penglihatan kekal.

Menurut Agensi Berita Saudi (SPA), pesakit berkenaan mengalami gejala serius, termasuk floaters (tompok atau bayangan pada penglihatan) dan kehilangan penglihatan secara beransur-ansur yang memerlukan rawatan segera.

Pasukan perubatan pakar melakukan dua pembedahan rumit menggunakan teknik canggih, sekali gus berjaya mengekalkan dan memperbaiki penglihatan kedua-dua pesakit.

Kedua-dua jemaah haji itu menyatakan rasa syukur atas penjagaan perubatan serta sokongan yang diterima, sambil memuji usaha Arab Saudi dalam melindungi kesihatan dan keselamatan jemaah sepanjang perjalanan ibadah haji mereka.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top