RUU Warga Emas: Jangan sampai berlaku situasi tidak adil kepada anak

RUU Warga Emas: Jangan sampai berlaku situasi tidak adil kepada anak

hafizithnin@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Rang Undang-Undang (RUU) Warga Emas perlu diwujudkan susulan peningkatan populasi golongan itu yang dijangka semakin ketara dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Pensyarah Kanan Fakulti Undang-undang Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Ikmal Hisham Md Tah berkata, kewujudan undang-undang khusus penting bagi memastikan kebajikan warga emas lebih terjamin termasuk mereka yang mempunyai anak mahupun sebaliknya.

Bagaimanapun, katanya, isu itu dijangka menjadi lebih kritikal selepas 2030 apabila peratusan warga emas meningkat dengan ketara.

“Dari sudut positif, ia boleh meningkatkan rasa tanggungjawab anak-anak terhadap ibu bapa yang sudah tua.

“Namun cabaran utama ialah dari segi penguatkuasaan kerana istilah pengabaian itu sendiri terlalu umum dan sukar dibuktikan,” katanya di sini, hari ini.

Terdahulu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri dilapor berkata, RUU Warga Emas sedang dirangka kementerian masih dalam proses penelitian selepas menerima pelbagai input tambahan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili golongan warga emas.

Antara cadangan dikemukakan termasuk keperluan mewujudkan tindakan terhadap anak yang gagal menjaga ibu bapa apabila meningkat usia.

Mengulas mengenai cadangan yang dikemukakan itu, Ikmal Hisham berkata, terdapat kemungkinan berlaku situasi tidak adil kepada anak sekiranya hukuman dikenakan tanpa melihat latar belakang keluarga.

“Mungkin ada anak yang sejak kecil diabaikan ibu bapa, jadi apabila dikenakan tindakan kerana gagal menjaga ibu bapa, timbul rasa tidak adil.

“Selain itu, tindakan berbentuk hukuman juga dikhuatiri boleh mencetuskan konflik keluarga lebih besar sehingga membawa pertikaian ke mahkamah,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya kerajaan mahu melaksanakan RUU berkenaan, pendekatan lebih bersifat holistik dan berbentuk perdamaian perlu diberi keutamaan berbanding mekanisme hukuman semata-mata.

Katanya, Malaysia juga boleh meneliti model dilaksanakan negara lain seperti Singapura yang mempunyai Maintenance of Parents Act 1995 bagi membolehkan warga emas menuntut nafkah daripada anak-anak.

“Di Singapura, pendekatan lebih bersifat berdamai dengan proses mediasi sebelum sebarang tindakan diambil.

“Selain Singapura, negara seperti India, China serta beberapa negara Barat turut mempunyai undang-undang berkaitan perlindungan warga emas,” katanya.

Katanya, Malaysia tidak boleh dianggap keterbelakangan walaupun belum mempunyai undang-undang khusus berkaitan warga emas kerana budaya masyarakat tempatan yang masih kuat menghormati dan menjaga ibu bapa.

“Namun, apabila demografi warga emas semakin bertambah, ketika itu keperluan kepada satu RUU khusus akan menjadi lebih mendesak,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top