Kuala Lumpur: Rakyat Malaysia kini mempunyai platform rujukan khusus bagi memerangi ulat tiket dan penipuan iklan konsert susulan pelancaran portal belitiketselamat.my, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau berkata portal di bawah Kempen Beli Tiket Selamat (BTS) itu membolehkan peminat seni tanah air menyemak kesahihan tiket sebelum melakukan sebarang transaksi.
”Iklan tiket palsu tersebar dengan begitu pantas di media sosial dan aplikasi pemesejan, malah ada yang muncul hanya beberapa minit selepas sesuatu acara diumumkan, khususnya apabila tiket rasmi telah habis dijual,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Prapelancaran Kempen Beli Tiket Selamat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, malam ini.
Fahmi berkata inisiatif strategik selama 24 bulan itu akan memperkukuh usaha intervensi pihak berkuasa menerusi perkongsian data yang lebih tersusun antara industri dengan kerajaan.
“BTS tidak menggantikan peranan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC), Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
“Sebaliknya, portal ini memperkukuh usaha penguatkuasaan dengan menyediakan risikan yang boleh diambil tindakan untuk menyokong intervensi yang lebih pantas,” katanya.
Selain portal, Fahmi berkata kempen itu turut menempatkan meja bantuan di lokasi acara bagi membolehkan mangsa penipuan mendapatkan bantuan laporan NSRC dalam tempoh hanya 15 minit.
Langkah proaktif itu diambil bersempena dengan KL Headline Season 2026 yang dijangka menarik ribuan penonton ke ibu kota untuk menyaksikan pelbagai konsert bertaraf antarabangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




