Majlis persandingan Arif Aiman dan Nurul Aliah Natasha berlangsung meriah

Majlis persandingan Arif Aiman dan Nurul Aliah Natasha berlangsung meriah

am@hmetro.com.my

Iskandar Puteri : Majlis persandingan pasangan Raja Sehari antara pemain sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi dan pasangan, Nurul Aliah Natasha Md Hairushahri di Puteri Harbour di sini malam ini berlangsung meriah.

Majlis resepsi itu turut diserikan dengan kehadiran Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bersama isteri, Che’ Puan Mahkota Khaleeda.

Tunku Mahkota Ismail yang juga pemilik JDT turut berkongsi di laman rasmi Facebooknya beberapa gambar sepanjang majlis meraikan kedua-dua mempelai yang segak dan cantik mengenakan busana tradisional Melayu.

Majlis persandingan itu difahamkan hanya dihadiri ahli keluarga serta kenalan rapat kedua-dua belah pihak.

Terdahulu, Arif Aiman dan pasangan sah bergelar suami isteri selepas majlis akad nikah yang diadakan di sebuah lokasi di Johor Bahru pada sebelah pagi.

Ruangan komen turut dibanjiri ucapan tahniah dan doa daripada penyokong Harimau Selatan serta peminat bola sepak tempatan yang mendoakan kebahagiaan pasangan terbabit.

Sebelum ini, kad undangan pernikahan pemain kebangsaan berusia 24 tahun itu yang tersebar di media sosial sudah lebih awal mencetuskan keterujaan peminat sehingga menjadi antara topik hangat dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan.

Arif yang kini dianggap antara tonggak utama skuad Harimau Malaya dan JDT terus menerima limpahan ucapan tahniah daripada peminat yang gembira melihat bintang muda itu memulakan episod baharu dalam kehidupannya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top