Kuala Lumpur: Petronas hari ini mengumumkan bahawa anak syarikatnya, Petronas Refinery and Petrochemical Corporation Sdn Bhd akan mengambil alih kepentingan yang dipegang oleh Saudi Arabian Oil Company (Aramco) dalam Pengerang Refining Company Sdn Bhd dan Pengerang Petrochemical Company Sdn Bhd (PRefChem), terletak di Kompleks Bersepadu Pengerang, Pengerang, Johor.
“Tertakluk kepada keperluan memenuhi syarat-syarat lazim pemuktamadannya, PRefChem akan menjadi milik penuh dan dikendalikan oleh kumpulan syarikat Petronas.
“Perkembangan terkini dalam pasaran tenaga global menekankan kepentingan daya maju operasi untuk infrastruktur tenaga yang mempunyai kepentingan strategik kepada negara,” menurutnya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.
Pemilikan penuh PRefChem mengukuhkan keupayaan syarikat minyak dan gas untuk menyokong keselamatan tenaga dan daya tahan industri Malaysia dalam jangka masa panjang.
“Pengambilalihan ini akan membolehkan Petronas mengambil alih kawalan sepenuhnya dan seterusnya meningkatkan penyelarasan operasi serta fleksibiliti dalam rantaian nilai PRefChem selain memanfaatkan rangkaian bekalan minyak antarabangsa dan model operasi bersepadunya untuk menyokong kebolehpercayaan dan daya tahan yang berterusan dalam pelbagai keadaan pasaran,” menurutnya.
Dalam pada itu, pengaturan bekalan minyak mentah antara Aramco dan Petronas di bawah perjanjian komersial sedia ada kekal tidak terjejas oleh transaksi ini.
Petronas memaklumkan bahawa pihaknya kekal teguh dalam komitmen terhadap keselamatan tenaga Malaysia serta membina operasi dan kerjasama antarabangsa yang akan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara tenaga yang progresif untuk beberapa dekad akan datang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




