am@hmetro.com.my
Kajang: Kumpulan penjenayah bersenjata yang dua ahlinya ditembak mati polis di Jalan Persiaran Seri Putra 2, Bandar Seri Putra, di sini, malam tadi dipercayai menyasarkan kediaman berhampiran lebuh raya untuk disamun.
Ia bagi memudahkan mereka melarikan diri, selain turut dipercayai memilih kawasan kurang kawalan kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengelak dikesan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, kumpulan itu yang dipercayai mempunyai kira-kira 10 ahli dikesan aktif sejak setahun lalu
Menurutnya, antara kawasan yang dikenal pasti menjadi sasaran kumpulan itu ialah Sungai Buloh, Kajang, Bangi, Banting dan beberapa lokasi lain di Selangor selain Melaka.
“Semasa melakukan jenayah, kumpulan itu memakai topeng muka serta sarung tangan untuk menyembunyikan identiti dan bertindak agresif untuk mencederakan mangsa jika diancam,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, di sini, semalam.
Kumar berkata, suspek berusia 20 dan 46 tahun itu ditembak mati selepas mereka melepaskan tembakan ke arah polis dalam kejadian pada jam 9.10 malam.
Menurutnya, kejadian berlaku ketika pasukan Bahagian D9 JSJ Bukit Aman menjalankan rondaan cegah samun di sekitar Kajang dan Bangi, sebelum terserempak kereta Proton Wira dinaiki suspek dalam keadaan mencurigakan.
“Polis kemudian mengekori kenderaan itu kira-kira 500 meter sebelum mengarahkan suspek berhenti, namun suspek enggan dan memecut laju sebelum dipintas di tepi jalan.
“Sebaik dipintas, suspek bertindak agresif dengan melepaskan tembakan dari dalam kenderaan mereka ke arah pasukan menyebabkan anggota terpaksa berbalas tembakan,” katanya yang memaklumkan aktiviti kumpulan itu tumpas susulan rebahnya dua suspek.
Katanya, pihaknya menemui sepucuk revolver, enam butir peluru, tiga kelongsong peluru, empat bilah parang serta pelbagai peralatan pecah rumah hasil pemeriksaan lanjut.
“Kedua-dua suspek itu mempunyai kira-kira 30 rekod jenayah lampau membabitkan kes pecah rumah, samun dan curi kenderaan.
“Kita percaya masih terdapat beberapa lagi ahli kumpulan yang masih bebas dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya memaklumkan usaha memburu suspek giat dilakukan.
Menurut Kumar, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan serta Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
© New Straits Times Press (M) Bhd




