KEPULANGAN semula pengendali berpengalaman, Jose Mourinho untuk mengemudi Real Madrid dilaporkan berdepan sedikit kesukaran ekoran peningkatan ketara pada nilai klausa pelepasan kontraknya bersama Benfica.
Walaupun pengendali kelahiran Portugal itu dilaporkan sudah mencapai persetujuan lisan bagi kontrak selama tiga tahun bersama gergasi Sepanyol tersebut, proses perpindahan rasmi kini tergendala akibat isu pentadbiran dalaman.
Menurut laporan media Portugal, RTP, kelewatan tersebut berpunca daripada kemelut politik di Santiago Bernabeu, di mana Florentino Perez kini sedang menghadapi saingan sengit dalam pilihan raya presiden kelab buat kali pertama dalam tempoh dua dekad menentang pencabarnya, Enrique Riquelme.
Situasi tersebut memaksa Perez memberikan tumpuan sepenuhnya kepada kempen pemilihan, sekali gus menangguhkan proses menandatangani dokumen rasmi pelantikan Mourinho yang secara teknikalnya masih memegang jawatan di Benfica.
Penangguhan berkenaan bagaimanapun membawa implikasi kewangan yang besar buat Real Madrid.
Peringkat awal yang membolehkan Los Blancos mengaktifkan klausa pelepasan awal bernilai €7 juta (RM33 juta) dilaporkan telah tamat tempoh pada Selasa lalu.
Susulan kegagalan menyelesaikan urusan sebelum tarikh akhir tersebut, klausa pelepasan Mourinho bersama Benfica kini meningkat sekali ganda kepada €15 juta (RM70 juta).
Perkembangan ini memberikan kelebihan kepada Presiden Benfica, Rui Costa dalam sesi rundingan untuk menuntut bayaran penuh, atau memaksa Real Madrid mengadakan perbincangan lanjut bagi mencari jalan penyelesaian alternatif.
Meskipun berdepan situasi rumit, Mourinho dilaporkan tetap tenang dan komited untuk kembali ke Madrid. Pengendali berusia 61 tahun itu sebelum ini pernah membimbing kelab berkenaan selama tiga musim (2010-2013) dengan rekod memenangi gelaran La Liga menerusi kutipan 100 mata.
Berdasarkan draf perjanjian baharu, kontrak tiga tahun yang ditawarkan turut merangkumi beberapa petunjuk prestasi utama (KPI), termasuk syarat untuk mengembalikan dominasi domestik Real Madrid dalam tempoh 24 bulan pertama.
Dalam perkembangan sama, Benfica kini dilaporkan sedang giat mencari pengganti Mourinho bagi membolehkan mereka memulakan persiapan pramusim dengan lancar.
Selepas rundingan bersama Ruben Amorim dilaporkan tidak membuahkan hasil, Benfica kini beralih arah menyasarkan pengurus Fulham, Marco Silva sebagai calon utama pengurus baharu mereka.



