Bangkok: Bekas pemandu Formula Satu (F1), Mika Salo, yang mengalami kecederaan di kaki percaya ia bukan disebabkan serangan, sebaliknya menganggap berkemungkinan kemalangan.
Menurut laporan portal The Thaiger, Salo menerima 28 jahitan selepas kakinya mengalami kecederaan ketika melalui persimpangan Nana di Bangkok pada 19 Mei lalu.
Pemandu warga Finland berusia 59 tahun itu memberikan keterangan kepada pegawai penyiasat di Balai Polis Lumpini pada 26 Mei selepas dibawa dari hotel penginapannya oleh polis pelancongan.
Salo berkata, beliau tidak menyedari dirinya dipukul atau disasarkan semasa kejadian, dan memaklumkan hanya menyedari kecederaan itu selepas seorang individu di situ menegurnya mengenai kesan darah pada kakinya.
Beliau kemudian dibawa ke hospital, yang mana kakitangan perubatan mengesahkan kecederaan itu sepadan dengan kesan objek tajam.
Bekas pemandu F1 itu menegaskan beliau tidak percaya luka itu berpunca daripada serangan, memandangkan beliau tidak berdepan situasi itu selain tiada barangan hilang.
Beliau menyifatkan kecederaan itu sebagai gangguan kecil sahaja, sambil berseloroh kesan utama hanyalah cuaca panas membuatkannya berasa kurang selesa untuk berenang sepanjang tempoh pemulihan.
Salo turut menyatakan beliau tidak bimbang mengenai keselamatannya, malah memuji Thailand dan Bangkok sebagai destinasi yang selamat, serta mengesahkan rancangannya untuk kembali ke negara itu pada masa hadapan, memetik laporan PPTVHD 36.
Pegawai Penyiasat Balai Polis Lumpini, Leftenan Muda Polis Yoswee Jantawat, mengambil maklum tiada sebarang aduan rasmi difailkan oleh Salo sebelum keterangan itu diambil.
Pihak polis kini sedang menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta mengumpul bahan bukti di sekitar lokasi kejadian.
Yoswee berkata, rekod pihak hospital menunjukkan warga tempatan dan warga asing pernah mengalami kecederaan serupa dalam situasi yang hampir sama sebelum ini.
Pihak polis percaya luka itu mungkin berpunca daripada plat pendaftaran motosikal yang terlanggar bekas juara American Le Mans Series itu, dan siasatan lanjut mengenainya masih dijalankan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




