yusmizal@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Simpati dengan cabaran serta survival golongan saudara baru mendorong Kawasan Rukun Tetangga Ayusutra Seksyen 24 menyerahkan sumbangan daging korban khusus buat golongan itu.
Timbalan Pengerusinya Muhammad Zulkifli Ghazali berkata, pengalaman peribadi itu menjadikan dia tampil dengan idea membantu mualaf di Selangor terutama ketika menyambut Aidiladha hari ini.
Katanya, kisah bertemu dengan mualaf dari Portugal tahun lalu benar-benar menginsafkan, selepas mengalami Islamofobia akibat salah faham mengenai Islam.
“Dia berkongsi rasa bimbang jika bertukar agama. Namun apa yang ditunjukkan sebahagian besar muslim di Malaysia begitu mengagumkannya.
“Akhirnya dengan hidayah yang diperoleh, dia diislamkan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, tahun lalu. Di situ, ia memberi ilham kepada saya betapa kita perlu melakukan sesuatu untuk membantu,” katanya.
Muhammad Zulkifli berkata, ia sebahagian daripada kisah golongan mualaf yang pernah disantuni, namun kebanyakannya berkisar kepada aspek penerimaan oleh keluarga dan masyarakat.
Justeru sejak tahun lalu, pihaknya bersama Persatuan Kepolisan Komuniti Seksyen 24 Shah Alam itu, memfokuskan sumbangan daging korban kepada saudara baru untuk menyantuni mereka seperti mana dianjurkan agama.
“Hari ini kita serahkan lebih 30 bantuan kepada mualaf di sekitar daerah Petaling,” katanya.
Sementara itu, seorang penerima Amanina Ambree, 29, berkata dia bersyukur kerana terpilih sebagai penerima sejak tahun lalu.
Katanya, hatinya begitu tersentuh dengan inisiatif yang dijalankan bagi membantu saudara baru sepertinya dan rakan-rakan lain.
“Terima kasih kerana ingat pada kami…ia menjadikan hari raya ini lebih bermakna,” katanya yang memeluk Islam sejak dua tahun lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




