Risiko hilang pekerjaan tinggi jika konflik Asia Barat berterusan

Risiko hilang pekerjaan tinggi jika konflik Asia Barat berterusan

hafizithnin@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Konflik geopolitik di Asia Barat yang berterusan selain ketidaktentuan ekonomi global ketika ini dilihat memberi kesan langsung terhadap pelbagai sektor industri negara dan berpotensi meningkatkan risiko kehilangan pekerjaan.

Ketua Jabatan Jabatan Pemajuan Profesional dan Pendidikan Lanjutan, Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Nor Wahiza Abdul Wahat berkata, peningkatan kos sumber tenaga khususnya minyak dan utiliti menyebabkan banyak syarikat termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berdepan tekanan besar untuk mengekalkan kelangsungan operasi masing-masing.

Katanya, keadaan itu bukan sahaja memberi kesan kepada produktiviti organisasi, malah menjejaskan sumber pendapatan syarikat sehingga terdapat majikan yang tidak lagi mampu menanggung kos operasi termasuk pembayaran gaji pekerja.

“Apabila syarikat tidak memperoleh keuntungan seperti yang dijangkakan, ia secara langsung memberi kesan kepada rantaian produktiviti organisasi, daripada proses pengeluaran produk sehinggalah penyampaian perkhidmatan.

“Sekiranya keadaan ini berterusan dan majikan gagal menampung kos operasi, risiko pengurangan tenaga kerja serta kehilangan pekerjaan akan menjadi semakin tinggi,” katanya ketika mengulas isu peningkatan jumlah pekerja yang kehilangan pekerjaan dalam negara.

Sebelum ini, Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir dilapor berkata, 7,057 pekerja dilaporkan kehilangan pekerjaan pada April lalu, meningkat 21 peratus berbanding 5,855 orang pada Mac.

Bagaimanapun, beliau berkata, jumlah itu masih lebih rendah berbanding Januari yang merekodkan 10,658 pekerja kehilangan pekerjaan dan Februari seramai 7,512 orang.

Dalam perkembangan sama, kerajaan turut memberi jaminan bahawa Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) atau LINDUNG di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial akan terus diperkasa agar dapat membantu golongan pekerja yang terjejas dengan lebih pantas dan berkesan.

Mengulas lanjut, Nor Wahiza berkata, kerajaan sebenarnya telah melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk konsep Bekerja Dari Rumah (BDR) bagi membantu mengurangkan penggunaan sumber tenaga serta kos operasi organisasi.

Namun katanya, kesan perubahan ekonomi global dan ketidaktentuan geopolitik kadangkala jauh lebih besar berbanding langkah mitigasi yang sedang diusahakan kerajaan.

“Sekiranya konflik geopolitik terus berpanjangan dan masyarakat pula tidak bersama-sama menyokong usaha penjimatan serta pelaksanaan inisiatif seperti BDR, keadaan ekonomi boleh menjadi lebih mencabar.

“Kita juga sering diingatkan supaya mengamalkan penjimatan dari segi tenaga dan kewangan. Namun, langkah berjimat perlu dilakukan secara berhemah kerana tindakan seperti pembelian panik juga boleh memberi implikasi negatif kepada kestabilan ekonomi,” katanya.

Dalam pada itu, Nor Wahiza menyifatkan SIP di bawah PERKESO sebagai satu inisiatif yang amat baik dalam membantu pekerja yang kehilangan pekerjaan tanpa kehendak sendiri.

Katanya, skim berkenaan bukan sahaja menyediakan bantuan kewangan sementara, malah menawarkan sokongan pencarian pekerjaan serta peluang peningkatan kemahiran kepada pekerja yang terkesan.

“Namun saya melihat masih ramai masyarakat yang kurang mengetahui atau tidak benar-benar memahami manfaat inisiatif ini walaupun pelbagai usaha promosi telah dilaksanakan oleh pihak PERKESO.

“Kesedaran masyarakat perlu terus dipertingkatkan supaya lebih ramai pekerja dapat memanfaatkan bantuan dan perlindungan yang disediakan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top