Pengarah, DOP Labu meninggal dunia, industri filem berduka

Pengarah, DOP Labu meninggal dunia, industri filem berduka

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Industri perfileman tanah air berduka apabila pengarah dan pengarah sinematografi (DOP), Nuhanisham Muhammad atau lebih dikenali sebagai Labu meninggal dunia, petang tadi.

Arwah dikatakan menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 5 petang di kediamannya di Taman Kuala Selangor Jaya, Kuala Selangor.

Berita sedih itu disahkan oleh salah seorang rakan karib arwah, Wan Sleep yang mengirimkan rakaman suara berkongsi maklumat mengenai pemergian Labu.

Menurut Wan, dia bergegas ke kediaman arwah sejurus menerima perkhabaran duka itu dan tiba di lokasi selepas Maghrib bagi memberi penghormatan terakhir serta membantu urusan seterusnya.

“Assalamualaikum kawan-kawan semua. Betul, yang kalian dapat info itu betul. Nuhanisham Muhammad atau dikenali sebagai Labu, DOP dan pengarah kita dah meninggal dunia pukul 5 lebih petang tadi,” katanya.

Wan memaklumkan buat masa ini punca sebenar kematian masih belum dapat dipastikan secara rasmi kerana mereka sedang menunggu proses pemeriksaan lanjut oleh pihak berkuasa.

“Saya sudah sampai rumah awak pukul 7.30 malam selepas Maghrib. Sekarang saya tengah tunggu polis datang untuk semakan.

“Laporan polis pun sudah dibuat, tengah tunggu bedah siasat atau begitulah. Sakit apa belum dapat pastikan lagi,” katanya.

Bagaimanapun, Wan mendedahkan Allahyarham sebelum ini mempunyai sejarah penyakit kronik dan pernah dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan sebelum kembali aktif di set penggambaran.

“Sebelum ini arwah memang ada sakit kencing manis dan darah tinggi. Sebelum ini pernah dirawat di hospital, dah lama juga. Selepas itu, dah boleh kembali bekerja,” katanya.

Jenazah Allahyarham dijangka akan dikebumikan pada pagi esok, namun butiran lanjut mengenai lokasi tanah perkuburan akan dimaklumkan kemudian selepas segala urusan dokumentasi dan prosedur hospital selesai.

Sementara itu, pengarah filem Malaikat Malam, Nazifdin Nasrudin turut berkongsi pemergian Labu dengan memaklumkan arwah jatuh sakit sejak beberapa hari lalu.

“Saya dapat tahu dari keluarga, dia (arwah) sudah sakit selama lima hari. Abang Labu ada beberapa penyakit (kolestrol, darah tinggi dan lain-lain.

“Dia dikatakan mengalami sesak nafas kira-kira jam 5 petang tadi sebelum menghembuskan nafas terakhir di rumahnya,” katanya dalam mesej ringkas.

Sepanjang karier seninya, Labu amat dikenali dalam kalangan pengamal media dan kru produksi sebagai seorang yang komited.

Dia pernah menggalas tanggungjawab besar sebagai pengarah DOP untuk beberapa naskhah filem popular tempatan antaranya Sangkar, Don Dukun, Malam Terlarang dan banyak lagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top