puterialia@hmetro.com.my
Petaling Jaya: Gara-gara tidak membuat persediaan fizikal, pelakon Shaheizy Sam mengalami kecederaan apabila tisu pada bahagian pelipat kedua-dua belah kakinya disahkan koyak ketika menjayakan penggambaran filem Cobra 7: Peluru Terakhir.
Sam atau nama sebenarnya Shaheizy Sam Abdul Samad, 44, berkata kecederaan terbabit dikesan melalui keputusan pemeriksaan pengimejan resonans magnetik (MRI) yang dilakukannya, baru-baru ini.
“Ikutkan keputusan MRI, bahagian belakang pelipat kaki saya mengalami kecederaan. Saya kurang pasti sama ada ia membabitkan ACL (Anterior Cruciate Ligament) atau meniskus, tetapi ia disahkan koyak untuk kedua-dua belah kaki pada bahagian sendi.
“Apabila kaki berada dalam keadaan tertekan, ia akan ada rasa berbisa. Setakat ini saya masih bertahan, saya memang kena jaga betul-betul dengan menggunakan hot pad (tuaman panas) kerana kaki mahu digunakan lagi untuk bekerja,” katanya ketika ditemui semasa penggambaran filem terbaharunya berjudul Cobra 7: Peluru Terakhir di Wisma Ali Bawal 2, di sini, semalam.
Berkongsi mengenai punca insiden, Sam berkata, kecederaan terbabit mula menyerang dirinya seawal hari ketiga penggambaran filem itu.
“Selalunya untuk filem aksi, kita tahu kena bersedia dari segi mental dan fizikal. Kebiasaannya saya akan buat persiapan awal dengan pergi ke gimnasium. Malah, awal-awal lagi saya memang sudah rancang mahu buat persiapan untuk penggambaran filem ini.
“Bagaimanapun, apabila mendapat skrip, watak kali ini rupa-rupanya tidak memerlukan fizikal yang ‘fit’. Jadi, saya rasa tenang dan selesa hingga tidak buat sebarang persiapan fizikal.
“Mungkin disebabkan badan terkejut apabila melakukan babak aksi, datang macam-macam kecederaan. Ada masanya saya terpaksa ambil pain killer (ubat tahan sakit) apabila saya tahu hari penggambaran ada babak berat yang perlu dijayakan,” katanya.
Meskipun mengalami kecederaan, pelakon filem Badak ini tetap meneruskan penggambaran dan menganggap ia sebahagian daripada tanggungjawab kerjayanya yang perlu dilakukan.
“Atas dasar tanggungjawab, sakit macam mana sekalipun saya tetap teruskan (penggambaran). Alhamdulillah, dalam keadaan cedera begini, penggambaran filem pun mahu habis dan Allah permudahkan,” katanya.
Ditanya mengenai kecederaan itu, Sam memaklumkan dia bakal menjalani rawatan susulan termasuk fisioterapi selain mahu berehat daripada naskhah yang berat.
“Rawatan susulan seperti fisioterapi memang saya akan buat. Selepas ini, saya mungkin akan mengambil cuti yang agak panjang sedikit.
“Kalau ada tawaran filem pun, buat masa ini saya tidak akan mengambil naskhah yang memerlukan komitmen fizikal yang berat. Saya akan pilih karya yang lebih ringan dahulu,” kongsinya.
Dalam perkembangan lain, filem Cobra 7: Peluru Terakhir arahan Faisal Ishak turut menampilkan barisan pelakon seperti Diana Danielle, Zahiril Adzim, Ahirine Ahidrudin, Amar Baharin, Hanna Aqeela dan ramai lagi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




