Bersatu nafi kembali bekerjasama dengan PH

Bersatu nafi kembali bekerjasama dengan PH
Bersatu nafi kembali bekerjasama dengan PH

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali

SHAH ALAM – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa parti itu akan kembali bekerjasama dengan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, parti itu turut menangkis fitnah wujud pertemuan dan perbincangan antara pimpinan parti tersebut dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk maksud mewujudkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

“Dakwaan dan fitnah jahat serta tidak berasas itu dikutip daripada kumpulan orang politik yang muflis nilai-nilai perjuangan dan percubaan mereka menutup kegagalan pengkhianatan dalam gerakan Langkah Bangkok.

“Berhati-hati dengan penyata dan berita daripada golongan fasiq yang berkeliaran dan bergelandangan untuk memecahkan perpaduan dalam Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).

“Jangan terpedaya dengan bisikan syaitan yang kejam dan jahat untuk menghalang kemaraan Bersatu. Berita golongan fasiq mesti diselidik dan ditentusahkan terlebih dahulu,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mohamed Azmin mendakwa tiupan fitnah semakin kencang kerana Bersatu semakin kuat dan berkembang dengan sokongan rakyat serta golongan profesional.

Katanya, jenama Bersatu menjadi daya tarikan rakyat Malaysia selain pengalaman dan prestasi pemimpin-pemimpin parti khususnya Tan Sri Muhyiddin Yassin yang cemerlang, telah teruji serta terbukti berjaya mengurus dan mentadbir negara dengan baik.

“Wajah sederhana, inklusif, progresif dan dasar prihatin rakyat telah menjana sokongan yang meluas,” menurut beliau lagi.

Tegas Mohamed Azmin, Bersatu bertekad akan terus kekal mempertahankan muafakat politik dalam PN dengan teguh dan berprinsip untuk membina Malaysia yang gagah, bermaruah dan progresif untuk semua rakyat.

Scroll to Top