
Aaron (kiri) – Wooi Yik gagal pertahan kejuaraan Terbuka Singapura apabila tunduk straight set di suku akhir kepada Wei Keng-Wang Chang di Stadium Tertutup Singapura pada Jumaat.
CABARAN Malaysia dalam Kejohanan Badminton Terbuka Singapura Super 750 berakhir di peringkat suku akhir selepas kesemua empat wakil beregu negara tersingkir di Stadium Tertutup Singapura pada Jumaat.
Beregu lelaki nombor dua dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik gagal mempertahankan kejuaraan apabila tunduk straight set 15-21, 15-21 kepada pasangan China, Liang Wei Keng-Wang Chang dalam tempoh 31 minit.
Kekalahan itu melengkapkan hari mengecewakan kem beregu lelaki negara apabila dua lagi wakil turut kecundang di peringkat lapan terbaik.
Sebelum itu, pasangan profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani tewas 18-21, 21-10, 14-21 kepada beregu pilihan ketiga Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri.
Gandingan muda Aaron Tai-Kang Khai Xing turut memberi tentangan sengit sebelum akur 21-19, 17-21, 13-21 kepada pasangan India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dalam pertarungan selama 65 minit.
Sementara saingan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei pula terpaksa menarik diri ketika menentang pasangan India, Dhruv Kapila-Tanisha Crasto.
Tang Jie-Ee Wei ketika itu mendahului 18-16 dalam set pertama sebelum Ee Wei mengalami kecederaan lutut. – Bernama



