Wajah Trump pada wang kertas AS$250?

Wajah Trump pada wang kertas AS0?

Washington: Imej Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dilaporkan kemungkinan besar akan dipaparkan pada wang kertas baharu bernilai AS$250 (kira-kira RM1,175) tidak lama lagi.

Langkah terbaharu pemimpin Parti Republikan itu dilihat berpotensi mengubah tradisi kewangan AS dengan meletakkan imej peribadinya pada institusi nasional negara berkenaan.

Cadangan bagi pengeluaran wang kertas baharu yang memaparkan wajah jelas Trump itu pertama kali dilaporkan pada 28 Mei oleh akhbar Washington Post.

Sekiranya dilaksanakan, ia akan menjadi kali pertama dalam tempoh lebih setengah abad, seorang individu yang masih hidup atau bekas presiden dipaparkan pada mata wang AS.

Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent berkata, ketika ini, terdapat cadangan undang-undang di Dewan Perwakilan dan Senat untuk mengubah dasar berkenaan.

Perubahan itu bertujuan membolehkan individu yang masih hidup iaitu Donald J. Trump dipaparkan pada wang kertas AS$250 (kira-kira RM1,175) itu.

Beliau berkata, pihaknya tidak melihat sebarang masalah untuk meletakkan Presiden AS pada wang kertas sempena ulang tahun ke-250 negara itu.

Menurutnya, Jabatan Perbendaharaan sudah membuat persediaan awal sekiranya undang-undang itu diluluskan, namun tetap akan mematuhi undang-undang sedia ada buat masa ini.

Satu contoh reka bentuk yang diperoleh Washington Post menunjukkan perkataan “America 250 anniversary”, sebagai penghormatan kepada pengisytiharan kemerdekaan AS pada 4 Julai 1776.

Akhbar itu turut melaporkan dua individu lantikan Trump dalam Jabatan Perbendaharaan pada 2025 menggesa kakitangan di Biro Ukiran dan Percetakan untuk menyediakan prototaip berkenaan.

Bagaimanapun, kakitangan di biro berkenaan menyatakan kebimbangan kerana cadangan itu berpotensi melanggar undang-undang persekutuan yang melarang penggambaran presiden yang masih hidup pada mata wang AS.

Pengarah Biro Percetakan, Patricia Solimene dilaporkan menolak usaha itu sebelum beliau ditukarkan secara mengejut daripada jawatannya susulan tindakan berkenaan.

Walaupun terdapat bantahan, pentadbiran Trump yang berusia 79 tahun itu terus meneruskan usaha berkenaan sekali gus mencetuskan tuduhan wujudnya pemujaan personaliti.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top