Lima sekeluarga cemas kereta dipandu tekong darat rempuh rumah

Lima sekeluarga cemas kereta dipandu tekong darat rempuh rumah

am@hmetro.com.my

Tumpat: Lima sekeluarga termasuk seorang nenek berusia 79 tahun dan dua cucunya berdepan detik cemas apabila sebuah kereta dipercayai dipandu tekong darat merempuh rumah mereka, di sini, pagi tadi.

Kejadian berlaku di Kampung Tok Malik dekat Wakaf Bharu, kira-kira jam 7 pagi.

Pemilik rumah, Aminah Seman berkata, dia sedang mengaji al-Quran di dalam bilik ketika kejadian berlaku.

Pada masa sama, dua cucunya yang berusia 22 dan 25 tahun sedang tidur di ruang tamu, manakala anak perempuan serta menantunya berada di bilik lain.

“Tiba-tiba saya terdengar bunyi dentuman kuat dari luar rumah. Anak perempuan dan saya melihat melalui tingkap. Saya nampak beberapa lelaki sedang mengejar seorang lelaki lain.

“Saya terus mengejutkan cucu dan kami keluar untuk melihat apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Ibu kepada sembilan anak itu berkata, dia terkejut apabila mendapati sebuah Perodua Myvi merempuh Naza Suria miliknya sebelum melanggar sebahagian rumah mereka.

Rempuhan itu menyebabkan kerosakan pada kenderaan berkenaan serta mengakibatkan rekahan pada bahagian tepi rumah.

“Saya sangat bersyukur kerana saya, anak perempuan, menantu dan cucu tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kebiasaannya saya akan keluar bersenam setiap pagi, tetapi hari ini saya memilih untuk berada di dalam rumah dan mengaji al-Quran.

“Jika saya berada di luar ketika itu, keadaan mungkin menjadi lebih buruk,” katanya.

Aminah berkata, dia kemudian melihat beberapa anggota polis menahan lelaki yang dipercayai memandu kenderaan itu.

Sementara itu, anak lelakinya, Che Abdul Muiz Ibrahim, 38, berkata, dia berada di Tanah Merah ketika menerima berita mengenai kejadian itu.

“Saya terus bergegas pulang ke Wakaf Bharu sebaik dimaklumkan mengenai kejadian.

“Saya bersyukur ibu, adik perempuan dan anak-anak mereka selamat walaupun berdepan pengalaman mencemaskan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top