'Isteri Hawari bergelut sara dua anak dengan RM1,500 sebulan' – Ibu rayu Kerajaan Nepal segera keluar deklarasi kematian

'Isteri Hawari bergelut sara dua anak dengan RM1,500 sebulan' – Ibu rayu Kerajaan Nepal segera keluar deklarasi kematian

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Ibu kepada peserta Malaysia Everest 2023 (ME2023), Muhammad Hawari Hashim yang dilaporkan hilang selepas berjaya menawan puncak Gunung Everest, berharap Kerajaan Nepal dapat mengeluarkan surat deklarasi atau pengisytiharan rasmi kematian anaknya dengan segera bagi memudahkan urusan keluarga.

Che Tom Hassan, 67, dari Kepala Batas, Pulau Pinang berkata, langkah itu penting bagi membolehkan keluarga membuat tuntutan insurans, pencen dan urusan dokumentasi rasmi yang masih tertangguh sejak kehilangan Hawari tiga tahun lalu.

Menurutnya, dia amat simpati dengan keadaan menantunya, Saffiyah Tang Xie Lie yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) cacat pendengaran, yang kini berjuang menyara dua anak mereka, Hana Sakeena, 6, dan Haris Sufyan, 3, dengan pendapatan yang terhad.

Katanya, menantu terpaksa memandu kereta berulang-alik setiap hari dari Tasik Gelugor ke sekolah khas di Bukit Mertajam bersama anak-anak. “Saya kasihan melihat keadaan mereka dan kesukaran yang dihadapi untuk meneruskan kehidupan.

“Sekiranya proses deklarasi ini dapat disegerakan, ia akan memudahkan urusan tuntutan insurans dan pencen yang boleh membantu meringankan beban keluarga,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Hari ini genap tiga tahun kehilangan misteri Hawari yang juga OKU cacat pendengaran berasal dari Pulau Pinang dan bertugas di Muzium Pulau Pinang yang ketika itu berusia 33 tahun.

Dia berjaya menawan Everest pada 19 Mei 2023 sebelum dilaporkan hilang keesokan harinya ketika berada di kawasan puncak.

Terdahulu, media melaporkan pihak ekspedisi ME2023 memohon Kerajaan Nepal mengeluarkan surat deklarasi atau pengisytiharan rasmi kematian Hawari bagi membantu keluarga mangsa menguruskan tuntutan insurans, pekerjaan dan dokumentasi rasmi.

Chef de Mission ME2023, Tan Sri Salleh Mohd Nor berkata, permohonan itu telah disampaikan kepada Kuasa Usaha Kedutaan Nepal di Malaysia, Mudita Bajracharya dalam satu pertemuan semalam.

Che Tom berkata, seluruh keluarga reda dengan ketentuan yang menimpa Hawari, namun masih menyimpan harapan agar jasad anaknya dapat ditemukan dan dibawa pulang ke pangkuan keluarga.

“Sudah tiga tahun berlalu, tetapi kerinduan kami terhadap Hawari tidak pernah padam. Kami sentiasa menunggu kepulangannya walau dalam apa jua keadaan,” katanya.

Beliau berkata, pendapatan kira-kira RM1,500 sebulan yang diperoleh menantunya tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan membesarkan dua anak yang sedang bersekolah.

“Saya berharap perkara ini dapat diselesaikan segera demi masa depan menantu dan cucu-cucu saya. Tidak wajar keluarga perlu menunggu sehingga tujuh tahun untuk proses deklarasi kematian,” katanya.

Menurutnya, dia masih meneruskan amalan bangun pada waktu malam untuk menunaikan solat tahajud, solat hajat serta berpuasa sunat dengan harapan jasad Hawari dapat ditemukan.

Katanya, baru-baru ini menantunya datang mengadu kesulitan kewangan dan memohon bantuan, namun ketika itu dia sendiri tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk membantu.

“Saya hanya mampu melihat menantu dalam keadaan kecewa. Sebab itu saya merayu kepada semua pihak termasuk Kerajaan Malaysia agar membantu menyegerakan urusan deklarasi kematian Hawari demi kebaikan dan masa depan keluarganya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top