
Netanyahu (kanan) berjabat tangan dengan rakan sejawatnya dari India, Narendra Modi di Baitulmaqdis pada 26 Februari 2026. – Foto: AFP/Getty Images.
JERUSALEM – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyifatkan India sebagai kuasa besar yang mempunyai ‘cinta luar biasa’ terhadap Israel, ketika negara itu berdepan tekanan dan kritikan antarabangsa berhubung konflik berterusan di Asia Barat.
Netanyahu membuat kenyataan itu ketika berucap dalam satu program kepimpinan di Tebing Barat, dengan menegaskan bahawa Israel masih berdepan usaha delegitimasi di pelbagai bahagian dunia, namun keadaan itu tidak berlaku di India.
“Di India terdapat cinta yang benar-benar luar biasa terhadap Israel,” katanya.
Beliau turut menyifatkan India sebagai kuasa besar global yang memainkan peranan penting dalam perluasan rangkaian hubungan diplomatik Israel, selain menggambarkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara sebagai antara yang paling strategik dan signifikan pada masa ini.
Menurut Netanyahu, hubungan erat itu mencerminkan kedudukan India sebagai rakan penting Israel dalam usaha memperkukuh kerjasama antarabangsa, khususnya ketika negara itu berdepan tekanan politik dan kritikan global terhadap tindakannya di Gaza dan Lubnan.
Dalam kenyataan sama, Netanyahu turut mendakwa Israel kini semakin memperluaskan jaringan pakatan antarabangsa, meskipun berdepan peningkatan sentimen negatif di beberapa negara Barat.
Beliau juga berkata, hubungan Israel dengan India kekal stabil dan berkembang, disokong oleh kerjasama pelbagai bidang termasuk pertahanan, teknologi, kecerdasan buatan, perdagangan serta pembangunan infrastruktur strategik.
Hubungan antara Israel dan India dalam beberapa tahun kebelakangan ini menunjukkan peningkatan ketara, termasuk beberapa perjanjian strategik yang dimeterai ketika lawatan rasmi pemimpin kedua-dua negara, yang turut melibatkan pengukuhan kerjasama keselamatan dan ekonomi.
Pada Februari lalu, kedua-dua negara menandatangani beberapa perjanjian penting dalam bidang teknologi, keselamatan dan perdagangan, sekali gus mengukuhkan lagi hubungan dua hala yang semakin berkembang.
Netanyahu turut menegaskan bahawa hubungan peribadinya dengan kepimpinan India antara faktor yang menyumbang kepada pengukuhan hubungan diplomatik tersebut, selain perkongsian kepentingan strategik antara kedua-dua negara di peringkat global. – Agensi



