Penduduk Kampung Mengkuang Titi bimbang lori 40 tan lalu tepi rumah

Penduduk Kampung Mengkuang Titi bimbang lori 40 tan lalu tepi rumah

am@hmetro.com.my

Bukit Mertajam: Penduduk Kampung Mengkuang Titi, di sini, melahirkan rasa bimbang terhadap keselamatan mereka selepas lori membawa muatan kelapa seberat 40 tan menggunakan laluan kediaman mereka untuk masuk ke sebuah kilang di kawasan berhampiran.

Situasi itu boleh mengancam nyawa memandangkan laluan kampung yang sempit dan berisiko berlaku kemalangan, apatah lagi pengguna terdiri daripada penunggang motosikal dan lokasi kanak-kanak berbasikal.

Penduduk, Mastura Zakaria, 40, berkata, lebih membimbangkan lori terbabit kerap masuk tanpa mengira masa.

“Keadaan ini yang ditakuti penduduk, selain terpaksa berdepan bunyi bising dan kesesakan.

“Jalan ini juga kerap digunakan kanak-kanak untuk berbasikal, jadi ia menakutkan jika terjadi apa-apa terhadap mereka,” katanya ketika ditemui hari ini.

Mastura mendakwa, kehadiran kenderaan muatan berat itu juga menyebabkan jalan mula mendap dan berlubang.

“Ia berlaku sejak dua tahun lalu, ada juga rumah penduduk mengalami keretakan,” katanya.

Penduduk, Noorhidayah Khalid, 44, berkata, mereka tidak kisah sekiranya lori yang digunakan kilang terbabit bersaiz kecil.

“Kilang itu sudah lama beroperasi dan sebelum ini kami tidak kisah kerana mereka hanya menggunakan lori kecil untuk membawa muatan kelapa.

“Namun sejak dua tahun lalu, lori bersaiz besar mula keluar masuk sehingga mengganggu ketenteraman penduduk. Jalan ini tidak sesuai digunakan untuk kenderaan berat,” katanya.

Difahamkan, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) sudah mengeluarkan notis tindakan penguatkuasaan meruntuh binaan tanpa kebenaran membabitkan sebuah kilang pemprosesan kelapa pada Februari lalu.

Bagaimanapun sehingga kini tiada tindakan susulan diambil.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top