am@hmetro.com.my
Penampang: Keputusan kerajaan Persekutuan meningkatkan bayaran interim kepada Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion mencerminkan kesungguhan kerajaan untuk melaksanakan hak 40 peratus hasil negeri ini seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick, berkata pengumuman dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu juga menunjukkan komitmen berterusan kerajaan Persekutuan dalam memenuhi tuntutan berkaitan hak hasil Sabah sementara rundingan pemuktamadan mekanisme pelaksanaannya diteruskan.
“Bagi pihak UPKO, saya mengalu-alukan komitmen Perdana Menteri untuk melaksanakan hak 40 peratus Sabah serta keputusan meningkatkan bayaran interim kepada RM1.5 bilion.
“Pengumuman ini mencerminkan kesungguhan kerajaan Persekutuan untuk memenuhi tuntutan berkaitan hak hasil Sabah secara berperingkat sementara rundingan pemuktamadan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah terus dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 bertempat di Hongkod Koisaan, di sini, hari ini.
Ewon yang juga Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah berkata, UPKO akan terus menyokong segala usaha ke arah pemulihan hak-hak Sabah berlandaskan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan.
Terdahulu, Anwar dalam ucapannya menegaskan Kerajaan Persekutuan komited melaksanakan hak 40 peratus Sabah seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan MA63.
Katanya, rundingan yang sedang berjalan ketika ini bertujuan memuktamadkan mekanisme pelaksanaan termasuk aspek perundangan dan kewangan yang berkaitan hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah.
Sementara rundingan terbabit dimuktamadkan, beliau turut mengumumkan peningkatan bayaran interim kepada Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion.
© New Straits Times Press (M) Bhd




