3 pekerja nyaris maut, 'kapal hantu' meletup, terbakar

3 pekerja nyaris maut, 'kapal hantu' meletup, terbakar

Chukai: Tiga pekerja nyaris maut selepas sebuah kapal tangki dipercayai “kapal hantu” yang ditemukan hanyut berhampiran dengan pelantar minyak di perairan Terengganu pada tahun lepas, meletup dan terbakar di Jeti Glorious Innovation di Kampung Bukit Kuang, dekat sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Mohd Razi Rosli berkata ketika kejadian, tiga pekerja berkenaan termasuk dua warga asing sedang menjalankan kerja-kerja memotong besi di atas kapal, namun mereka berjaya menyelamatkan diri sebelum kebakaran merebak.

Beliau berkata polis menerima panggilan tentang kejadian itu daripada orang awam pada 3.18 petang.

“Ketika kejadian, tiga pekerja berusia antara 39 hingga 46 tahun sedang memotong besi menggunakan pemotong gas oksigen di atas kapal tangki sepanjang 53.7 meter dan lebar 10 meter itu.

“Bagaimanapun, secara tiba-tiba berlaku letupan kecil pada kapal lalu terbakar, namun tiga pekerja berkenaan sempat turun dari kapal untuk menyelamatkan diri,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Razi berkata anggota bomba tiba di tempat kejadian pada 3.23 petang dan berjaya mengawal kebakaran sejam kemudian.

Katanya, kapal tangki berkenaan didapati terbakar di bahagian tengah dengan anggaran kemusnahan sebanyak 45 peratus.

“Punca letupan dan kebakaran itu masih dalam siasatan pihak forensik bomba,” katanya.

Media pada Ogos tahun lepas melaporkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengesan sebuah “kapal hantu” seberat 292.9 tan yang hanyut di perairan Pelantar Minyak Semangkok A di Terengganu, dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian sebuah kapal tangki terbakar di perairan Tanjung Sedili, Johor pada 7 Ogos 2025.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top