7 warga Nepal cedera, bas persiaran terbalik di Genting Highlands

7 warga Nepal cedera, bas persiaran terbalik di Genting Highlands

Kuantan: Tujuh warga Nepal cedera selepas sebuah bas persiaran yang membawa 36 penumpang terbalik dalam kemalangan membabitkan dua bas persiaran dan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di KM15 Jalan turun Genting Highlands-Genting Sempah, petang tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Mohd Salahuddin Isa berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 5.29 petang sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Genting Highlands tiba di lokasi pada 6.06 petang.

“Sebuah bas yang membawa 36 penumpang yang terdiri daripada warga Nepal telah terbalik, mengakibatkan tujuh orang mengalami kecederaan. Sebanyak 34 penumpang dari Bangladesh dan Nepal yang menaiki satu lagi bas persiaran pula dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Salahuddin berkata tiga individu yang berada di dalam Perodua Aruz itu juga selamat dan tidak mengalami kecederaan.

Beliau berkata semua mangsa berjaya keluar dari kenderaan masing-masing sebelum ketibaan pihak bomba di lokasi kejadian.

“Pasukan bomba memberikan bantuan awal kepada mangsa yang cedera sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk dihantar ke hospital. Pihak bomba telah melakukan kerja-kerja pembersihan tumpahan minyak di lokasi kejadian,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top