George Town: Seorang lelaki dipercayai warga Myanmar ditemukan maut dalam kebakaran di sebuah premis hiburan yang beroperasi di bangunan bekas pawagam Odeon di Jalan Penang di sini malam ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Mohamad Shoki Hamzah berkata mangsa dipercayai terperangkap di dalam bangunan dua tingkat itu ketika kebakaran terbabit berlaku.
“Mayat lelaki yang dipercayai pekerja di situ ditemukan di pintu keluar bangunan berkenaan selepas pihak bomba selesai memadamkan kebakaran tersebut kira-kira 11.15 malam ini, mangsa dipercayai terperangkap sebelum cuba keluar untuk menyelamatkan diri,” katanya ketika dihubungi Bernama malam ini.
Beliau berkata berdasarkan siasatan awal, premis pusat hiburan itu tidak beroperasi kerana dalam proses pengubahsuaian, dan mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.
Terdahulu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Pulau Pinang memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada 8.50 malam sebelum jentera bersama-sama anggota bomba terus ke lokasi.
“Sebaik pihak bomba tiba, api sedang marak dan kebakaran melibatkan sebuah premis dua tingkat berkeluasan 1,393.54 meter persegi yang dijadikan pusat hiburan sebagai Midnight Black terletak di bangunan bekas pawagam Odeon.
“Setakat pukul 10.45 malam ini, anggaran kemusnahan akibat kebakaran ialah kira-kira 50 peratus dan Pasukan Keluaran Operasi sedang menjalankan kerja-kerja pengawalan serta pemadaman api di lokasi kejadian,” menurut kenyataan itu malam ini.
Menurut PGO JBPM Pulau Pinang, sebanyak 25 anggota termasuk penyelia terlibat dalam operasi berkenaan dengan bantuan beberapa aset termasuk jentera LFRT, FRT, EMRS dan Aerial Ladder Platform (ALP) serta dibantu lebih 10 Pasukan Bomba Sukarela (PBS).
Selain asap tebal yang boleh dilihat hingga jarak lima kilometer, kebakaran itu turut menyebabkan kesesakan teruk di kawasan bandar raya George Town.
Sementara itu, Ahli Parlimen Tanjung Lim Hui Ying berkata beliau bersama dengan Ketua Menteri Chow Kon Yeow bergegas ke lokasi sejurus dimaklumkan tentang kebakaran yang berlaku di bangunan tersebut.
“Terima kasih kepada Balai Bomba Lebuh Pantai dan pasukan-pasukan PBS yang bertindak pantas mengawal kebakaran. Penghargaan juga kepada semua agensi dan pihak yang terlibat dalam operasi serta penyelarasan di lokasi kejadian, semoga segala urusan susulan berjalan dengan lancar,” kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu menerusi hantaran Facebooknya malam ini.
Chow menerusi hantaran di Facebooknya turut mengucapkan penghargaan kepada semua anggota bomba dan responden kecemasan atas profesionalisme dan tindakan pantas mereka dalam melindungi penduduk dan harta benda berdekatan.
“Saya dimaklumkan bahawa anggota bomba bertindak pantas untuk mengawal kebakaran dalam tempoh yang singkat, berjaya mencegahnya daripada merebak ke bangunan bersebelahan, termasuk di sepanjang Jalan Sri Bahari.
“Saya difahamkan bahawa premis tersebut belum memulakan operasi pada masa kebakaran berlaku, punca kejadian dan jumlah kerugian akan ditentukan susulan siasatan lanjut oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat,” katanya sambil mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa terlibat.
Bangunan yang pernah menempatkan Pawagam Odeon, antara pawagam paling ikonik di Pulau Pinang, pada asalnya dikenali sebagai Theatre Royal sebelum ditukar kepada King’s Theatre dan kemudiannya Odeon Cinema, yang menjadi sebahagian daripada landskap hiburan negeri itu sejak awal abad ke-20.
Pada 1940, pawagam tersebut menjalani proses pemodenan besar-besaran sebelum dibuka semula sebagai Odeon Cinema dengan kemudahan tayangan, sistem bunyi dan penyaman udara yang canggih pada zamannya.
Sepanjang operasinya, pawagam itu menayangkan pelbagai genre filem termasuk produksi Hollywood, filem klasik, filem berbahasa Cina, filem aksi Hong Kong serta filem Tamil dan Hindi.
Pawagam berkenaan menamatkan operasinya pada 31 Julai 2014, sekali gus menandakan berakhirnya era satu daripada pawagam skrin tunggal terakhir di Malaysia yang memberikan tumpuan kepada tayangan filem India.
© New Straits Times Press (M) Bhd




