Kuala Lumpur: Pelari pecut muda negara Danish Iftikhar Muhammad Roslee menduduki tempat keenam bagi acara 200 meter (m) lelaki pada Kejohanan Olahraga Asia Bawah 20 Tahun (B-20) di Hong Kong hari ini.
Atlet berusia 19 tahun itu merekodkan 21.32 saat (s) pada saingan akhir berlangsung di Kai Tak Youth Sports Ground.
Catatan itu agak jauh jika dibandingkan dengan rekod kebangsaan yang dipegangnya iaitu 20.73s semasa merangkul gangsa 200m lelaki pada Sukan Sea Thailand 2025 di Bangkok, Disember lepas.
Sementara itu, Abdul Quddus Ahmed Ali dari Emiriah Arab Bersatu merangkul emas dengan catatan 20.85s meninggalkan pencabar terdekat dari China Chen Jinxin yang meraih perak (21.12s).
Sadew Wimansa Rajakaruna Senarath Mudiyanseiage dari Sri Lanka pula memenangi gangsa dengan 21.13s.
Kejohanan yang bermula Khamis lalu berakhir esok.
© New Straits Times Press (M) Bhd




