Kuala Lumpur: Peningkatan masalah sakit lutut, sakit belakang dan gangguan postur akibat gaya hidup moden membuka ruang kepada permintaan terhadap kaedah penjagaan tubuh yang lebih menyeluruh dan tidak invasif.
Menyedari keperluan itu, MMW Bone Alignment Centre memperkenalkan MMW Method iaitu pendekatan pelarasan struktur badan yang menggabungkan seni bela diri, biomekanik dan pengetahuan tradisional pelarasan tulang bagi membantu individu menangani masalah berkaitan sistem muskuloskeletal.
Pengasasnya, Wong Sifu atau Dr Max Wong berkata, ramai individu yang mendapatkan rawatan sebenarnya bukan mengalami kecederaan serius, sebaliknya berdepan masalah degenerasi serta ketidakseimbangan struktur badan yang berlaku dalam tempoh panjang.
Katanya, masalah seperti sakit lutut, sakit pinggang dan ketegangan badan sering berpunca daripada tekanan berlebihan pada struktur tubuh yang tidak seimbang, bukannya pada bahagian yang sakit semata-mata.
“Ramai memberi tumpuan kepada kawasan yang sakit, sedangkan punca sebenar mungkin datang daripada ketidakseimbangan pada bahagian lain seperti pinggul, tulang belakang atau postur badan.
“Jika struktur badan tidak diperbetulkan dari asas, rawatan yang hanya tertumpu kepada simptom mungkin sekadar memberi kelegaan sementara,” katanya.
Beliau berkata, MMW Method dibangunkan hasil pengalaman bertahun-tahun dalam bidang seni bela diri serta pemerhatian terhadap corak pergerakan dan keseimbangan struktur tubuh manusia.
Katanya, pendekatan itu menekankan penilaian individu, pelarasan secara berperingkat dan keselamatan, tanpa penggunaan teknik yang kasar atau memaksa tubuh.
“Setiap individu mempunyai keadaan tubuh yang berbeza dan disebabkan itu setiap pelarasan dilakukan berdasarkan penilaian khusus dan mengikut kemampuan tubuh masing-masing,” katanya.
Menurut beliau, pendekatan berasaskan struktur badan semakin mendapat perhatian masyarakat sejajar peningkatan kesedaran mengenai kepentingan penjagaan postur, kesihatan sendi dan mobiliti jangka panjang.
Beliau bagaimanapun menjelaskan bahawa kaedah berkenaan bukan bertujuan menggantikan rawatan perubatan atau pembedahan, sebaliknya menawarkan pilihan alternatif kepada individu yang ingin memperbaiki fungsi tubuh secara ‘non-invasive’.
“Matlamat kami bukan sekadar membantu seseorang berasa kurang sakit pada hari ini, tetapi membantu tubuh kembali kepada struktur dan fungsi yang lebih baik untuk jangka panjang.
“Kami berharap lebih ramai masyarakat mula memberi perhatian terhadap kesihatan tubuh sejak peringkat awal supaya masalah kecil tidak berkembang menjadi beban kesihatan yang lebih serius pada masa hadapan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




