lokman.khairi@hmetro.com.my
Gopeng: Kehilangan pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, di Gunung Batu Putih di Tapah, yang berketinggian 2,130 meter pada 24 Mei lalu sedikit sebanyak mengimbau misteri kehilangan seorang peserta Gopeng Ultra Trail 2019.
Mohammad Ashraf Hassan atau lebih mesra dipanggil Acap yang dilaporkan tidak sampai ke garisan penamat ketika menyertai Gopeng Ultra Trail 2019, tujuh tahun lalu.
Ketika kejadian, pemuda berusia 29 tahun itu dikatakan kali terakhir dilihat melalui kawasan hutan di Bukit Batu Putih yang berketinggian 310 meter dekat Kampung Pintu Padang, di sini.
Rakannya kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Gopeng pada jam 1.09 pagi, 24 Mac 2019.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan pelbagai agensi termasuk polis, bomba serta mendapat kerjasama penduduk kampung itu kemudiannya ditangguhkan pada 17 April 2019 iaitu selepas 24 hari pencarian.
Bekas Ketua Kampung Padang Pintu, Mohd Fairis Zabidi berkata, penduduk kampung antara individu terawal yang menyertai usaha mencari Acap sebaik kehilangan peserta terbabit disahkan pihak penganjur dan polis.
Menurutnya, penduduk mula turun ke lapangan pada hari kedua operasi selepas pihak polis selesai membuat perancangan serta penyelarasan gerakan pencarian pada hari pertama.
“Orang kampung memang terus terbabit kerana kami sedia maklum mengenai penganjuran larian itu.
“Laluan perlumbaan melalui kampung kami dan ramai penduduk sendiri bertugas menjaga checkpoint yang disediakan penganjur.
“Jadi apabila Acap dilaporkan hilang, dalam tempoh singkat kami sudah mendapat maklumat mengenainya dan terus membantu pihak berkuasa,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.
Dia berkata, pencarian peringkat awal tertumpu di sekitar kawasan Batu Putih, laluan sungai dan kawasan pergunungan sehingga ke Kuala Razila sebelum pasukan pencari dipecahkan kepada beberapa kumpulan.
Katanya, selepas hari ketiga operasi, lebih banyak bantuan diterima daripada pelbagai pihak termasuk pengusaha resort, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Pasukan Gerakan Am (PGA) yang turut menggunakan unit pengesan K9.
“Ketika itu memang ramai yang datang membantu. Ada lima atau enam pasukan bergerak serentak mencari di kawasan berbeza.
“Orang kampung pula akan sentiasa ada bersama setiap pasukan kerana kami lebih arif dengan bentuk muka bumi di sini.
“Sepanjang hampir sebulan operasi berlangsung, penduduk kampung tidak pernah berhenti membantu. Cuma pasukannya bertukar ganti setiap hari kerana ada yang bekerja dan ada komitmen lain,” katanya.
Mengulas mengenai sebarang petunjuk yang ditemui sepanjang operasi, Mohd Fairis berkata, pasukan pencari tidak menemukan sebarang petunjuk fizikal yang boleh membawa kepada lokasi Acap.
Menurutnya, antara maklumat penting yang diperoleh ketika itu adalah isyarat terakhir telefon bimbit Acap yang dikesan menerusi sistem GPS berhampiran kawasan Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) di Kampung Jahang, kira-kira tiga kilometer dari kampung berkenaan.
“Dalam beberapa hari pertama memang tiada petunjuk ditemui. Kemudian hasil semakan GPS dan telefon bimbit, dimaklumkan isyarat terakhir dikesan di kawasan Kampung Jahang.
“Bagaimanapun, sehingga operasi ditangguhkan, tiada penemuan yang benar-benar dapat merungkai apa yang berlaku kepada Acap,” katanya.
Mohd Fairis berkata, kehilangan Acap terus menjadi tanda tanya dalam kalangan penduduk kampung sehingga hari ini kerana berlaku tanpa sebarang petunjuk jelas.
“Bagi saya, kes ini memang satu misteri. Kami tidak boleh membuat sebarang kesimpulan mengenai punca kehilangan kerana tiada bukti atau petunjuk yang kukuh ditemui.
“Orang kampung masih mengingati kejadian itu sampai sekarang.
“Malah saya difahamkan abang kepada Acap, Mohd Zahiruddin masih meneruskan usaha mencari dan mengikuti perkembangan berkaitan adiknya walaupun sudah bertahun-tahun berlalu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




