PETALING JAYA: Pengendali skuad hoki wanita negara, Siti Amarina Ruhani menuntut anak-anak buahnya lebih ampuh mengekang pukulan sudut penalti lawan susulan kekalahan 1-2 kepada India dalam aksi sulung Piala Asia Bawah 18 Tahun (B-18) di Kakamigahara, Jepun, semalam.
“Sistem pertahanan ketika berdepan asakan pukulan sudut penalti pihak India perlu diperbaiki segera memandangkan kita telah menerima hampir 16 pukulan sudut penalti.
”Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan oleh semua pemain. Mereka menjalankan tugasan masing-masing seperti yang dirancang oleh pasukan dengan baik,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Malaysia mendapat gol sagu hati menerusi jaringan padang Nur Qashrina Azli pada minit ke-41 dan tidak berupaya untuk mencari penyamaan apabila India terus bertahan sehingga wisel penamat.
Dalam pada itu, Siti Amarina tetap memuji barisan pertahanan pasukan yang beraksi tangkas mengekang lawan daripada menembusi gawang Malaysia.
”Pasukan menggagalkan deretan peluang yang dimiliki skuad India daripada membolosi gawang melalui kelebihan tersebut.
“Kini, fokus skuad B-18 wanita negara beralih sepenuhnya kepada pertembungan menentang Singapura yang dijadualkan berlangsung pada pukul 11 pagi esok,” ujarnya yang mahu anak-anak buahnya mencari kemenangan ke atas jiran tetangga itu. – UTUSAN




