KUALA LUMPUR: Penyanyi, Nourul Wahab Depp berpandangan tidak rugi apabila dia terpaksa melaburkan wang persaraan demi konsert Nourul For You yang berlangsung semalam di Zepp Kuala Lumpur.
Baginya, meskipun pulangan diperoleh secara bertahap, dia tetap merasakan pelaburan itu baik untuk diri sendiri dan kerjayanya sebagai penyanyi.
“Sebenarnya, malam ini saya menyanyi secara percuma. Saya tak kisah kerana ia adalah pelaburan untuk diri sendiri.
“Saya yakin bersedia dan kerana itu saya melakukannya (konsert). Tak mengapa, pulangan akan datang kemudian. Kita buat kerana minat dan cinta,” kongsinya yang ditemui selepas konsert tersebut, malam tadi.
Menerusi konsert istimewa itu, Nourul mempersembahkan 22 buah lagu antaranya Cinta Azali, Rinduku Padamu, Kerana Terluka dan banyak lagi.
Membuat penampilan istimewa merupakan Mimi Fly yang mempersembahkan lagu Temberang yang dinyanyi solo selain Persamaan, Maafkanku dan keliru (duet).
Turut membuat kemunculan khas merupakan Zachary Depp yang mendendangkan lagu Joget Kenangan Manis dendangan Sudirman Haji Arshad.
Nourul dalam pada itu memaklumkan konsert tersebut hanyalah persinggahan sekejap dan bukan untuk kembali ke dunia seni tanah air.
“Ini adalah Nourul Wahab Depp dalam fasa dan minda yang lain.
“Saya tidak tahu apa akan berlaku selepas ini, cuma saya ingin buat yang terbaik. Impian dan perancangan saya tercapai selepas 32 tahun,” kongsinya.




