ADIK kepada Fidel Castro dan tonggak utama kuasa di Cuba selama beberapa dekad kembali menjadi tumpuan selepas berdepan pendakwaan Amerika Syarikat (AS), baru-baru ini.
Ia merupakan episod terbaharu di bawah kempen tekanan yang dilancarkan pentadbiran Donald Trump ke atas bekas Presiden, Raul Castro setelah ia menyasarkan negara sosialis itu selama beberapa bulan.
Castro didakwa atas peranannya dalam insiden tembak jatuh dua pesawat ringan dikendalikan Brothers to the Rescue berpusat di Miami pada 1996.
Ketika itu, beliau memegang jawatan Menteri Pertahanan manakala abangnya menjadi pemimpin Revolusi Cuba dan tokoh dominan di negara Caribbean itu selama lebih separuh abad.
Hari ini, pada usia 94 tahun, Castro kekal sebagai tokoh utama dalam struktur kuasa di Havana walaupun telah berundur daripada politik.
Apabila Castro meletakkan jawatan tertinggi sebagai Setiausaha Pertama Parti Komunis pada 2021, ia menandakan berakhirnya hampir enam dekad pemerintahan keluarganya.
Menerusi ucapan perpisahannya pada penutupan Kongres Kelapan Parti Komunis pada April 2021, jeneral tentera itu memberi amaran tegas akan sentiasa siap siaga untuk mempertahankan negara tersebut selagi nyawanya masih dikandung badan.
Beberapa tahun kebelakangan ini, beliau masih menghadiri beberapa acara penting meraikan kejayaan Revolusi Cuba malah turut menerima kunjungan beberapa Presiden dan pemimpin politik dari negara sekutu di Istana Nasional.
Sebelum meninggalkan jawatannya, Castro menyatakan beliau berundur dengan hati yang tenang setelah menunaikan amanah yang dipikul di samping menaruh keyakinan terhadap masa depan negara itu.
Situasi sekarang bagaimanapun sudah berubah selepas Trump menghentikan penghantaran minyak dari Caracas ke Havana.
Pemimpin Republikan itu juga mengancam untuk mengenakan tarif terhadap negara lain yang menjual minyak mentah kepada Cuba hingga mencetuskan krisis tenaga paling buruk dalam sejarah moden negara pulau itu.

Castro (kiri) bersama abangnya ketika bersama-sama melancarkan gerakan revolusi pada 1950-an.
Pemimpin kedua paling berkuasa
Adik-beradik Castro dilahirkan di Biran, di timur Cuba dan merupakan anak kepada seorang pemilik tanah berketurunan Galicia yang berhijrah ke negara pulau itu.
Fidel Castro muncul sebagai wajah politik dan ideologi gerakan revolusi manakala adiknya memainkan peranan lebih besar dalam aspek ketenteraan dan organisasi.
Kedua-duanya pernah terlibat dalam cubaan pemberontakan terhadap pemerintahan Batista yang akhirnya membawa kepada penangkapan mereka sebelum dibuang negeri ke Mexico.
Di sana, mereka menyusun semula gerakan revolusi dan merancang kepulangan ke Cuba bersama kumpulan pemberontak termasuk Ernesto ‘Che’ Guevara dari Argentina pada 1956.
Perang gerila yang mendapat sokongan rakyat itu akhirnya membawa kepada kejatuhan tentera Fulgencio Batista yang memaksa pemimpin diktator itu melarikan diri. Pada 1 Januari 1959, pasukan revolusi memasuki Havana, sekali gus mengisytiharkan kemenangan mereka.
Castro kemudiannya menjadi pemimpin kedua paling berkuasa setelah dilantik sebagai Menteri Pertahanan dan jawatan itu dipegang selama hampir lima dekad yang menyaksikan penubuhan struktur ketenteraan serta unit risikan.
Beliau mengambil alih jawatan Presiden secara sementara selepas kesihatan abangnya mula merosot pada 2006 sebelum dinamakan sebagai pemimpin rasmi dua tahun selepas itu.
Beberapa pembaharuan dilaksanakan di bawah kepimpinannya seperti membuka peluang kepada perniagaan kecil persendirian, pelonggaran sekatan perjalanan ke luar negara dan akses lebih luas kepada internet serta telefon bimbit.
Pernah berbaik dengan AS
Salah satu detik paling penting sepanjang pemerintahannya ialah apabila beliau bersama Presiden ke-44 AS, Barack Obama menerajui usaha bersejarah untuk memulihkan hubungan diplomatik antara Washington dan Havana pada 2014.
Pada tahun 2018, Castro menamakan Miguel Díaz-Canel sebagai penggantinya dan pelantikan itu dilihat sebagai langkah ke arah peralihan generasi dalam sistem pemerintahan meskipun terus diawasi golongan lama Castroisme.
Ramai penganalisis berpendapat Castro kekal berpengaruh memandangkan hubungan eratnya dengan Angkatan Tentera Revolusi yang dianggap sebagai salah satu tunjang utama kuasa di Cuba dan penggerak penting dalam sektor ekonomi strategik negara itu.
Washington kini mengulangi strategi terhadap bekas Presiden Venezuela digulingkan, Nicolas Maduro dengan menyasarkan Castro melalui tekanan undang-undang, sekatan ekonomi dan ancaman pendakwaan antarabangsa ke atas elit pemerintah.
Pendakwaan terhadap beliau menandakan peningkatan ketegangan yang belum pernah berlaku sebelum ini selain cubaan Trump untuk melemahkan teras sejarah Castroisme.
Seperti strategi tersasar yang gagal menggugat pemerintahan teokratik di Iran, AS cuba memanfaatkan insiden penembakan jatuh pesawat itu sebagai alasan untuk mempercepatkan peralihan politik di Cuba yang masih dibayangi legasi Castro.



