SSBB catat prestasi kewangan terbaik

SSBB catat prestasi kewangan terbaik

SOUTHERN Score Builders Berhad (SSBB), syarikat pakar kejuruteraan bersepadu yang menyediakan perkhidmatan pengurusan pembinaan, kejuruteraan mekanikal dan elektrikal (M&E) serta perundingan kejuruteraan khusus, mencatatkan prestasi kewangan terbaik dalam sejarah syarikat bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Mac 2026 (9MFY26).

Bagi tempoh tersebut, hasil kumpulan melonjak 124.2 peratus kepada rekod tertinggi RM314 juta berbanding RM140 juta yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun kewangan sebelumnya (9MFY25).

Peningkatan itu didorong oleh sumbangan yang lebih kukuh daripada segmen pembinaan dan M&E, selain disokong prestasi perkhidmatan perundingan susulan pengambilalihan Nova Pharma Solutions Berhad (NPS).

Seiring pertumbuhan hasil, keuntungan selepas cukai yang boleh diagihkan kepada pemilik syarikat turut meningkat 57.9 peratus kepada paras tertinggi RM45.1 juta berbanding RM28.6 juta setahun sebelumnya.

Pencapaian tersebut menandakan kali pertama hasil kumulatif sembilan bulan SSBB melepasi RM300 juta, manakala keuntungan bersih pula melepasi RM45 juta.

Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif SSBB, Gan Yee Hin berkata, syarikat berbangga dapat mengekalkan momentum pertumbuhan dengan merekodkan prestasi suku tahunan dan sembilan bulan terbaik sejak penubuhannya.

Menurut beliau, keuntungan bersih bagi 9MFY26 turut mengatasi rekod keuntungan bersih penuh tahun kewangan lalu sebanyak RM40.2 juta.

“Prestasi ini mencerminkan kemajuan yang stabil bagi projek-projek pembinaan yang sedang dilaksanakan serta sumbangan yang semakin kukuh daripada segmen M&E.

“Pada masa sama, pelaburan dalam NPS mula memberikan pulangan positif kepada segmen perkhidmatan perundingan pada suku ketiga FY2026. Ini juga merupakan suku keenam berturut-turut syarikat mencatatkan pertumbuhan hasil,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, integrasi antara kepakaran pembinaan dan M&E SSBB dengan keupayaan perundingan NPS turut membuka lebih banyak peluang perniagaan baharu yang kini sedang diterokai secara aktif oleh kumpulan.

Dalam usaha memperkukuh pertumbuhan jangka panjang, SSBB terus memberi tumpuan kepada pengembangan segmen M&E dan perkhidmatan perundingan yang disokong prospek memberangsangkan dalam industri pusat data, farmaseutikal dan bioteknologi.

Sementara itu, industri pembinaan negara terus menunjukkan pertumbuhan positif apabila nilai kerja pembinaan meningkat 8.5 peratus tahun ke tahun kepada RM46.5 bilion pada suku pertama 2026, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Namun, sektor berkenaan masih berdepan cabaran kos susulan kenaikan harga bahan api yang dipengaruhi ketegangan geopolitik di Asia Barat.

Keadaan itu telah menyebabkan kos pembinaan meningkat berikutan kenaikan harga bahan binaan utama seperti simen dan keluli, selain menambah kos operasi pengangkutan, penggunaan jentera berat dan peralatan berkuasa bahan api.

Menurut Gan, faktor-faktor tersebut memberi tekanan terhadap margin keuntungan kontraktor dan dijangka terus menjadi cabaran dalam jangka masa terdekat.

“Bagaimanapun, industri pembinaan dijangka kembali stabil sekiranya harga bahan api menjadi lebih sederhana dan tekanan kos dapat dikurangkan.

“Secara keseluruhannya, prospek kumpulan kekal positif disokong oleh buku pesanan dan saluran tender yang kukuh, selain pelaksanaan inisiatif pengurusan kos secara berterusan,” katanya.

Bagi suku ketiga FY2026 sahaja, SSBB mencatatkan hasil sebanyak RM133.7 juta, meningkat lebih dua kali ganda berbanding tempoh sama tahun lalu dan melepasi paras RM100 juta buat pertama kali dalam sejarah syarikat.

Keuntungan bersih suku tersebut turut mencapai rekod baharu sebanyak RM19.7 juta berbanding RM10 juta pada suku ketiga FY2025.

Sehingga 31 Mac 2026, kumpulan memiliki buku pesanan tertunggak berjumlah RM1.5 bilion, merangkumi RM1.1 bilion daripada SSBB dan RM387.8 juta daripada SJEE, sekali gus memberikan keterlihatan pendapatan yang kukuh bagi tahun-tahun mendatang.

Scroll to Top