Pendidikan, kesihatan tidak wajar terkesan penjimatan

Pendidikan, kesihatan tidak wajar terkesan penjimatan

SHAH ALAM – Langkah penjimatan yang dijangka dilaksanakan dalam Belanjawan 2027 tidak seharusnya melibatkan pengurangan besar terhadap sektor kritikal seperti pendidikan dan kesihatan kerana kedua-duanya penting untuk kelangsungan serta masa depan negara.

Pakar ekonomi, Profesor Madya Dr Mustazar Mansur berkata, projek berkaitan kesejahteraan rakyat termasuk pengangkutan awam dan perumahan juga perlu diteruskan bagi memastikan rakyat terus mendapat akses kepada kemudahan asas.

Menurutnya, penjimatan boleh dilakukan menerusi pengurangan aktiviti rasmi kerajaan, penggabungan fungsi agensi yang bertindih dan memperluaskan digitalisasi dalam sektor awam bagi mengurangkan kos operasi.

“Selain itu, kerajaan juga boleh memperkemaskan pelaksanaan subsidi bersasar terutama melibatkan bahan api dan bantuan tertentu supaya hanya golongan benar-benar layak menerima manfaat.

“Langkah itu sekali gus dapat mengurangkan ketirisan termasuk penyeludupan dan penyalahgunaan subsidi,” katanya kepada Sinar Ahad.

Beliau berkata demikian ketika mengulas bayangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Belanjawan 2027 akan dirangka dengan lebih banyak langkah penjimatan susulan tekanan ekonomi global yang menjejaskan kedudukan fiskal negara.

Mengulas lanjut, Mustazar berkata, projek mega yang tidak memberi impak besar kepada rakyat boleh ditangguhkan atau dilaksanakan menerusi kerjasama awam-swasta bagi mengurangkan beban kewangan kerajaan.

Katanya, kerajaan juga perlu memperkukuh integriti dan tadbir urus dalam sistem perolehan bagi mengelakkan ketirisan yang boleh menjejaskan hasil negara.

“Anak syarikat kerajaan juga perlu dinilai dari segi kecekapan kewangan dan keberkesanan projek yang dijalankan supaya tidak berlaku pembaziran,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut berpandangan bantuan kewangan dan biasiswa kepada pelajar berpotensi daripada keluarga kurang berkemampuan perlu terus diperkasakan menerusi kerjasama dengan pihak swasta.

Menurutnya, langkah tersebut bukan sahaja membantu kerajaan mengurangkan beban kewangan, malah dapat melahirkan lebih ramai modal insan berkualiti untuk pembangunan negara pada masa depan.

Sementara itu, penganalisis ekonomi dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Dr Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali pula berpendapat, langkah penjimatan sememangnya perlu memandangkan kedudukan hutang negara kini hampir mencecah had maksimum yang dibenarkan iaitu sebanyak 65 peratus.

Menurutnya, kebanyakan belanjawan sebelum ini merekodkan defisit apabila perbelanjaan kerajaan melebihi pendapatan negara sehingga memerlukan pinjaman bagi menampung perbelanjaan pembangunan.

“Kita ada dua pilihan iaitu sama ada meningkatkan pendapatan negara melalui cukai atau mengurangkan perbelanjaan kerajaan.

“Namun ruang untuk menambah cukai agak terhad kecuali kerajaan mahu mempertimbangkan semula pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST),” katanya.

Beliau berkata, sekiranya pendapatan negara tidak dapat ditingkatkan secara signifikan, kerajaan tiada pilihan selain mengawal serta mengurangkan perbelanjaan tertentu.

Bagaimanapun katanya, langkah penjimatan tidak boleh melibatkan perbelanjaan asas dan keperluan rakyat.

“Perbelanjaan daruriah atau keperluan asas tidak boleh dikompromi, tetapi kerajaan boleh melihat kepada pengurangan perbelanjaan berbentuk kehendak dan kemewahan yang boleh ditangguhkan,” jelas beliau.

Scroll to Top