Bola sepak berjalan makin dapat sambutan, bakal tubuh persatuan kebangsaan

Bola sepak berjalan makin dapat sambutan, bakal tubuh persatuan kebangsaan

SUKAN bola sepak berjalan kini semakin mendapat sambutan yang menggalakkan dalam kalangan masyarakat di negara ini, sekali gus membuka ruang kepada penubuhan badan induk di peringkat kebangsaan dalam masa terdekat.

Presiden Persatuan Bolasepak Berjalan Kuala Lumpur (KLWFA), Mejar Jeneral (B) Datuk Md Rahim Mohammad berkata, sukan yang sudah mempunyai badan induk rasmi di peringkat Eropah itu kini mula berkembang secara positif di peringkat domestik.

Menurut beliau, setakat ini sebanyak lima negeri telah mendaftarkan persatuan masing-masing di negara ini iaitu Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan dan Selangor.

“Mengikut peraturan Pesuruhjaya Sukan, kita memerlukan sekurang-kurangnya enam persatuan negeri berdaftar sebelum boleh menubuhkan persatuan di peringkat nasional.

“Setakat ini kita sudah ada lima negeri. Kita hanya menunggu pendaftaran daripada dua atau tiga negeri lagi untuk membolehkan kita memberi tumpuan kepada pembentukan badan induk di peringkat kebangsaan yang disasarkan pada tahun ini,” katanya ketika ditemui pada pertandingan tertutup KLWFA pada Sabtu.

Stuart (kanan) turut beraksi dalam pertandingan tertutup KLWFA.

Stuart (kanan) turut beraksi dalam pertandingan tertutup KLWFA.

Pertandingan itu turut dihadiri Pengerusi Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP), Datuk Stuart Ramalingam.

Mengulas mengenai KLWFA, Md Rahim menjelaskan bahawa persatuan itu kebanyakkan dianggotai oleh bekas pemain antarabangsa dan bekas pemain kebangsaan.

Jelas beliau, fokus asal sukan tersebut adalah berpandukan garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menyasarkan golongan veteran berusia 50 tahun ke atas bagi tujuan menjaga kesihatan dan mengekalkan kecergasan.

Bagaimanapun, struktur tersebut disusun semula selepas menerima permintaan tinggi daripada golongan yang berusia di bawah 40 tahun.

“Bila kita mula bermain di beberapa tempat, sambutan yang diterima amat menggalakkan termasuk daripada golongan bawah 40 tahun. Sukan ini juga sangat mudah, tidak perlu berlari dan tiada sentuhan fizikal menjadikannya sangat seronok sehingga dapat menarik minat masyarakat.

“Oleh itu, apabila kita mengadakan kejohanan mini, kita wujudkan kategori berasingan bagi memastikan semua dapat mengambil bahagian,” katanya.

Sehingga kini, sukan tersebut telah menarik minat ramai peserta dengan anggaran keahlian kini menghampiri 10,000 orang secara keseluruhan di KLWFA.

Katanya, KLWFA sebelum ini telah menyertai beberapa kejohanan selain menjadi naib juara di International Bali Challenge di Indonesia.

Meskipun sukan ini semakin berkembang, Md Rahim mengakui bahawa setakat ini sebahagian besar aktiviti dan kos pengurusan persatuan masih dibiayai sendiri oleh ahli-ahli persatuan secara sukarela serta sumbangan daripada beberapa syarikat tempatan.

Bagi memastikan sukan ini dapat terus berkembang, KLWFA kini sedang dalam usaha untuk mendapatkan dana dan sokongan daripada pihak kerajaan.

“Kami telah berbincang dengan Pengerusi Majlis Sukan Wilayah Persekutuan, Datuk Stuart Ramalingam untuk merancang pembangunan sukan ini di Kuala Lumpur dan berharap dapat memperoleh geran bantuan bersesuaian.

“Pada masa sama, kita juga berkolaborasi bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana sukan ini sangat bertepatan dengan agenda kecergasan dan kesihatan golongan dewasa serta pesara,” katanya.

Scroll to Top