Rakyat AS cedera dalam serangan Iran di pangkalan AS di Kuwait

Rakyat AS cedera dalam serangan Iran di pangkalan AS di Kuwait

Bandaraya Kuwait: Serangan peluru berpandu balistik Iran ke atas sebuah pangkalan udara di Kuwait pada Sabtu lalu, menyebabkan kecederaan ringan kepada beberapa rakyat Amerika Syarikat (AS) dan merosakkan dua dron serangan MQ-9 Reaper, lapor Bloomberg.

Serangan itu berlaku ketika Presiden AS, Donald Trump mempertimbangkan satu perjanjian untuk melanjutkan gencatan senjata yang rapuh.

Menurut seorang individu yang mempunyai pengetahuan langsung mengenai serangan itu, pertahanan udara Kuwait memintas peluru berpandu Fateh-110 itu, namun serpihan yang jatuh mengenai Pangkalan Udara Ali Al Salem.

Menurutnya lagi, kira-kira lima orang termasuk kontraktor dan anggota bertugas mengalami kecederaan ringan.

Difahamkan, sebuah dron Reaper musnah sepenuhnya dan sekurang-kurangnya satu lagi rosak teruk.

Setiap dron berkenaan bernilai kira-kira AS$30 juta (kira-kira RM132.6 juta).

Dalam pada itu, Markas Pemerintahan Pusat (CENTCOM) AS tidak segera memberi maklum balas terhadap permintaan komen.

Serangan itu berlaku ketika AS mempertimbangkan perjanjian untuk melanjutkan gencatan senjata yang rapuh sejak April.

Namun, kedua-dua pihak masih terus melancarkan serangan sepanjang tempoh itu.

Sementara itu, Trump berkata, beliau bersedia membuat ‘keputusan muktamad’ terhadap perjanjian awal.

Namun, mesyuarat di Bilik Situasi pada hari sama tidak menghasilkan sebarang pengumuman.

Perang Iran turut menghabiskan stok senjata utama AS termasuk peluru berpandu JASSM-ER dan Tomahawk serta sistem pertahanan udara seperti THAAD, Patriot PAC-3 dan SM-3 Block IIA.

Laporan Jabatan Pertahanan pula menyatakan, 14 rakyat AS terkorban dan 409 cedera setakat ini.

Menurut media sama, peluru berpandu Fateh-110 milik Iran mampu membawa kepala peledak seberat 500 kilogram (kg).

Iran melancarkan lebih 1,850 peluru berpandu balistik ke arah kepentingan musuh, sejak perang bermula pada 28 Februari lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top