Trafik mula perlahan di beberapa lebuh raya

Trafik mula perlahan di beberapa lebuh raya

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Aliran trafik di beberapa kawasan di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) mula menunjukkan peningkatan dengan pergerakan kenderaan bergerak perlahan, hari ini.

Pengurus Besar Kanan Operasi PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Mohd Yusuf Abdul Aziz berkata, trafik di lebuh raya itu pada Jumaat dan semalam agak tinggi apabila melepasi dua juta kenderaan susulan cuti panjang dan musim perayaan Aidiladha.

Menurutnya, bagi hari ini, trafik mula meningkat dan di beberapa lokasi tertentu, pergerakan kenderaan sudah mula agak perlahan.

“Bagi Wilayah Utara, trafik bergerak perlahan dari Permatang Pauh ke Prai, Pulau Pinang, sebelum masuk Plaza Tol Juru, Hentian Sungai Bakap arah Utara, Jawi ke Bandar Baharu, Taiping ke Changkat Jering, Perak dan sebelum Terowong Menora ke Ipoh.

“Bagi Wilayah Tengah, trafik perlahan selepas keluar Plaza Tol Sungai Besi menuju ke pusat bandar, Gua Tempurung ke Gopeng, dan Nilai ke Kawasan Rehat Seremban arah Selatan.

“Di Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE), trafik juga perlahan di Putrajaya ke Bandar Gamuda Cove dan Bandar Serenia ke Nilai , manakala Lebuhraya Seremban – Port Dickson (SPDH) juga perlahan di Lukut ke Port Dickson,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, bagi Wilayah Selatan, trafik juga perlahan di Hentian Sebelah Senawang ke Pedas Linggi dan Yong Peng ke Pagoh yang berlaku kemalangan dua kereta di Kilometer 141.2 arah utara menyebabkan lorong kecemasan terhalang.

Katanya, selain itu, trafik turut perlahan di Sedenak ke Kulai dan Senai ke Kulai.

Bagaimanapun di trafik di Lebuhraya Butterworth Kulim (BKE), Jambatan Pulau Pinang dan Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) lancar.

Dalam pada itu, Mohd Yusuf berkata, pengguna jalan raya juga diminta merancang perjalanan dan merujuk MyPlus-TTA untuk sebarang maklumat lanjut berkaitan trafik.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top