'Saya pelik ada suara muncul dalam video' – Muhammad Azhad kongsi pengalaman mistik di hutan

'Saya pelik ada suara muncul dalam video' –  Muhammad Azhad kongsi pengalaman mistik di hutan

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Meskipun pernah beberapa kali berdepan pengalaman mistik semasa menjalani aktiviti rekreasi di dalam hutan, namun ia tidak pernah mematahkan minat Muhammad Azhad Ahlami Rozali, 22, untuk meneruskan hobi berkenaan.

Menceritakan pengalaman mistik dilaluinya, Muhammad Azhad berkata, dia gemar menjalankan aktiviti rekreasi di hutan yang dianggap boleh memberi ketenangan buat dirinya.

“Sepanjang beberapa tahun kerap masuk ke dalam hutan, saya pernah berdepan pengalaman mistik di Bukit Sapu Tangan, Bukit Botak dan kawasan hutan berhampiran Pintasan Rawang di Selangor selain Hutan Ulu Kenaboi, Negeri Sembilan.

“Setiap kali mendaki, saya memang selalu ambil video sekadar suka-suka. Apabila pulang ke rumah dan lihat semula video semasa di Bukit Sapu Tangan dan Bukit Botak, saya perasan ada suara asing .

“Semasa pergi kedua-dua bukit berkenaan, saya bersendirian. Sebab itu saya pelik apabila ada suara pelik muncul dalam video sedangkan sewaktu saya mendaki, tidak dengar apa-apa bunyi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Muhammad Azhad yang juga pegawai pemeriksa kualiti berkata, sewaktu mendaki di kawasan hutan Pintasan Rawang bersama dua rakannya, mereka mendengar bunyi suara orang lain.

“Ketika itu, kami bertiga terdengar suara orang lain seolah-olah berkumpulan sedang berborak sesama sendiri dan sedang menuju ke arah kami.

“Keadaan itu menyebabkan kami menunggu di kawasan untuk tahu sekiranya memang ada kumpulan lain yang turut mendaki. Namun selepas menunggu seketika, kami dapati rupanya tiada orang lain yang ada di situ selain kami bertiga.

“Keadaan itu menyebabkan perasan kami agak berdebar dan seram kerana kami dengar suara itu dengan jelas dan kuat, namun sebenarnya tiada siapa di kawasan terbabit,” katanya.

Terdahulu, hantaran Muhammad Azhad, baru-baru ini, yang berkongsi pengalaman mistik dilaluinya semasa berada di dalam hutan mendapat pelbagai reaksi daripada warganet.

Menurutnya, dia memuat naik hantaran berserta video memaparkan bunyi pelik berkenaan untuk berkongsi kisah dan mengetahui pandangan orang ramai sama ada itu benar suara ‘halus’ atau sebaliknya.

“Terdapat pelbagai pandangan yang saya baca di komen. Ada yang kata bunyi itu daripada haiwan dan bunyi pokok di dalam hutan berkenaan.

“Namun, ada juga yang berkongsi pengalaman yang dilalui sama seperti saya. Apa pun kata-kata mereka, saya terima kerana masing-masing ada pendapat tersendiri,” katanya.

Katanya, pengalaman yang dilalui itu menyebabkan dia dan rakan-rakan sentiasa berhati-hati ketika melakukan aktiviti rekreasi terutama berkaitan adab semasa berada di dalam hutan.

“Seelok-eloknya, jangan mendaki pada waktu malam kerana terdapat risiko bahaya yang sangat tinggi. Apa yang paling penting adalah jangan masuk ke hutan seorang diri.

“Sejujurnya, saya tidak begitu takut dengan keadaan sebegitu kerana sudah terbiasa. Namun kadang-kadang muncul rasa takut apabila berdepan situasi menyeramkan.

“Bagaimanapun, saya tetap mahu meneruskan hobi berkenaan kerana suasana hutan dapat menghilangkan segala masalah dalam fikiran,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top