
Mohd Puad
JOHOR BAHRU – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi mendakwa DAP menggunakan tawaran jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebagai sebahagian daripada tawar-menawar politik.
Beliau mendakwa, perkara itu terbongkar apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim dikatakan menolak tawaran jawatan berkenaan yang diberikan dengan syarat beliau bersetuju bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu berkata, tindakan tersebut bercanggah dengan pendirian DAP yang selama ini lantang mengkritik pelantikan politik dalam GLC.
“Tidak disangka DAP guna jawatan GLC untuk berjual beli politik. Ini terdedah apabila YB Marina Ibrahim menolak tawaran tersebut asalkan dia setuju bertanding di DUN Tiram.
“DAP sering mengecam pihak lain kerana membuat lantikan politik di GLC. Pada DAP, itu tidak beretika, tidak profesional dan tidak reformis,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Beliau mendakwa, tindakan menawarkan jawatan sebelum pilihan raya lebih serius berbanding pelantikan selepas pilihan raya yang dibuat sebagai pengiktirafan kepada wakil rakyat yang tidak dilantik sebagai Exco atau menteri.
“Tapi DAP lagi teruk. Tawaran dibuat sebelum menang pilihan raya. Lainlah sikit jika dilantik selepas pilihan raya untuk mengiktiraf kedudukannya sebagai YB kerana tidak dilantik Exco atau Menteri,” katanya.
Mohd Puad turut mendakwa kenyataan Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching berhubung tawaran jawatan kepada Marina membuktikan parti itu mempunyai pengaruh besar dalam menentukan pelantikan ke jawatan GLC.
“Janji Teo Nie Ching itu membuktikan DAP ada pengaruh besar terhadap PMX. Itu belum cakap pasal Selangor dan Pulau Pinang,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mencabar DAP supaya mendedahkan senarai wakil rakyat dan pemimpin parti yang memegang jawatan dalam GLC di peringkat Persekutuan dan negeri.
“Justeru kita cabar DAP, dedahkan YB dan pemimpin DAP yang bukan YB tetapi pegang jawatan GLC pusat dan negeri,” katanya.



