firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali berpandangan ketiadaan aksi persahabatan antarabangsa dalam kalendar skuad Harimau Malaya sepanjang jendela Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) kali ini bukanlah satu isu besar.
Katanya, selagi pemain mendapat pendedahan latihan berintensiti tinggi dan memahami tuntutan taktikal yang diterapkan barisan kejurulatihan.
Menurutnya, perlawanan persahabatan sememangnya penting sebagai platform terbaik untuk menguji kekuatan pasukan, namun kem latihan yang panjang dan tersusun juga mampu memberikan impak positif terutama dalam aspek keserasian serta pemahaman corak permainan.
“Ya, perlawanan persahabatan memang bagus untuk persiapan pasukan sebenarnya. Tetapi jika tidak ada perlawanan persahabatan, latihan yang dijalankan saya rasa sudah cukup untuk meningkatkan pemahaman taktikal dan mendapatkan keserasian dalam kalangan pemain.
“Jika tidak ada perlawanan persahabatan sekalipun, apabila pemain dapat berkumpul dalam satu kem latihan, itu juga satu perkara yang baik untuk pasukan kebangsaan,” katanya ketika ditemui pada Kejohanan MommyHana Safee Sali Superkids Cup 2026 di sini, semalam.
Pandangan Safee itu hadir ketika timbul persoalan mengenai pendekatan beberapa pasukan Asia Tenggara yang tidak mengatur aksi pemanas badan dalam jendela antarabangsa kali ini, termasuk Malaysia dan Vietnam.
Sedangkan kebanyakan negara lain mengambil peluang mengadakan sekurang-kurangnya satu atau dua perlawanan persahabatan sebagai persediaan menghadapi tugasan kompetitif akan datang.
Mengulas mengenai tahap kecergasan pemain, bekas penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu yakin para pemain kebangsaan yang berstatus profesional memahami tanggungjawab masing-masing untuk memastikan mereka berada pada tahap terbaik menjelang musim baharu.
“Pemain sememangnya perlu menjaga prestasi dan stamina bagi menghadapi musim baharu. Mereka profesional dan sudah tahu bagaimana untuk menjaga diri masing-masing.
“Dalam tempoh rehat yang agak panjang selepas berakhirnya musim liga sebelum ini, mereka juga perlu menggunakan masa itu untuk berehat dan membuat persediaan mental serta fizikal bagi menghadapi musim seterusnya,” katanya.
Safee turut percaya program latihan yang dirancang oleh ketua jurulatih dan barisan kejurulatihan kebangsaan mampu memastikan pemain kekal kompetitif walaupun tanpa aksi persahabatan, khususnya dalam usaha membentuk persefahaman serta mengukuhkan identiti permainan Harimau Malaya menjelang cabaran yang bakal dihadapi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




