Bukan lompat parti, Marina nafi dakwaan ‘kena beli’

Bukan lompat parti, Marina nafi dakwaan ‘kena beli’

JOHOR BAHRU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim menafikan dakwaan ‘kena beli’ atau akan melompat parti susulan dirinya dilihat kurang lantang mengkritik kerajaan negeri berbanding kebiasaan seorang pembangkang.

Menurut beliau, persepsi tersebut timbul kerana ramai yang menilai politik hanya melalui kenyataan keras dan serangan terbuka, sedangkan fokus utamanya adalah menyelesaikan masalah rakyat di lapangan.

“Ada yang cakap ‘lompat parti’ atau kena beli. Jawapannya tidak. Aku dah terangkan, segala keputusan aku buat adalah setelah perbincangan dengan semua mereka yang menjadi tulang belakang aku. Mereka ni yang faham cara kerja aku.

“Orang mula bina persepsi buruk dan tanggapan hanya sebab aku tak vokal dalam mengkritik,” katanya dalam muat naik di laman Facebooknya pada Isnin.

Pada Ahad, Marina mengumumkan tidak akan mempertahankan kerusinya pada PRN Johor akan datang dan berundur dari arena politik.

Keputusan Marina itu mengejutkan ramai pihak termasuk Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching yang berat hati menerima keputusan Marina.

Dalam pada itu, Marina menegaskan pendiriannya selama ini tentunya menyokong perkara yang memberi manfaat kepada rakyat tanpa mengira pihak yang membawanya, sambil terus menegur kelemahan melalui saluran yang sesuai.

“Sebab aku percaya politik bukan sekadar soal sejauh mana kita hebat serang orang, tetapi soal menyelesaikan masalah dilapangan.

“Aku punya ‘annoying’ nak pastikan masalah tempat aku selesai memang hingga buat orang tarik nafas agaknya.

“Kalau korang baca dalam Art of War, Sun Tzu ada tekankan bahawa kemenangan terbaik adalah kemenangan yang dicapai tanpa perlu bertempur. Prinsip ini sentiasa aku pegang dalam kerja di lapangan,” ujarnya.

Menurutnya, banyak isu rakyat dapat diselesaikan melalui hubungan kerja yang baik, rundingan dan persefahaman berbanding konfrontasi politik berterusan.

Dalam masa sama, beliau mengakui pendekatan itu mungkin mengundang kritikan daripada pihak yang berpendapat pembangkang perlu bersikap lebih agresif dalam menentang kerajaan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan keutamaan seorang wakil rakyat adalah menyelesaikan masalah rakyat, bukan berlumba-lumba menunjukkan siapa paling lantang menyerang lawan politik.

“Politik ada waktunya, bila nak pilihan raya..tetapi bagi aku membantu rakyat tidak boleh menunggu musim.

“Bagi aku kekuatan sebenar seorang ahli politik jangan diukur melalui berapa banyak pertelingkahan yang dibuat, tetapi melalui berapa banyak masalah rakyat yang berjaya diselesaikan. Itulah semangat yang aku nak pegang dalam berkhidmat kepada masyarakat.

“Konsepnya… Menang tanpa bertempur di mana menyelesaikan masalah melalui hubungan dan rundingan,” katanya lagi.

Scroll to Top