
Penyokong Arsenal ketika meraikan sambutan kejuaraan EPL Arsenal.
SAMBUTAN kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang dinanti-nantikan oleh penyokong Arsenal dilaporkan dicemari dengan beberapa insiden kecemasan selepas puluhan ribu peminat membanjiri utara London bagi meraikan kejayaan berkenaan.
Walaupun suasana secara amnya meriah selepas penantian selama 22 tahun untuk menjulang trofi tersebut, pasukan penyelamat terpaksa bekerja keras susulan tindakan penyokong memanjat bangunan serta penggunaan bahan piroteknik di jalanan.
Jabatan Bomba London mendedahkan bahawa mereka terpaksa menyelamatkan kira-kira 75 orang yang berada dalam kedudukan berbahaya di tempat tinggi.
Demi melihat kelibat bas berbumbung terbuka yang membawa pengendali pasukan, Mikel Arteta dan barisan pemainnya, ramai penyokong bertindak memanjat pokok, bumbung bangunan serta tiang lampu isyarat sekali gus memerlukan intervensi keselamatan berskala besar.
Penolong Komisioner Jabatan Bomba London, Pat Goulbourne berkata, tindakan segelintir penyokong telah mencetuskan bahaya di sekitar kawasan Islington dari petang hingga ke malam meskipun sebahagian besar orang ramai berkelakuan baik.
Sambutan tersebut turut terjejas akibat penggunaan bahan piroteknik yang menyebabkan kebakaran di sebuah hotel tempatan selepas terkena suar. Bagaimanapun, kejadian buruk berjaya dielakkan.
“Nasib baik kebakaran itu hanya menyebabkan sedikit kerosakan pada bahagian luar bangunan,” kata Goulbourne.
Penggunaan bahan piroteknik berkenaan juga dipercayai telah mengaktifkan penggera kebakaran di beberapa lokasi lain di kawasan sekitar. Pihak bomba menasihatkan orang ramai yang pulang agar mengelak daripada menggunakan bahan tersebut terutamanya di stesen pengangkutan awam serta kawasan berhampiran bahan mudah terbakar.
Sementara itu, Polis Metropolitan mengerahkan lebih 500 anggota untuk mengawal keadaan di sekitar Stadium Emirates.
Sehingga jam 9 malam Ahad, pihak polis mengesahkan sebanyak 16 tangkapan telah dibuat atas pelbagai kesalahan termasuk berkelakuan mabuk dan tidak sopan, kesalahan dadah, serangan seksual serta menyerang petugas kecemasan.
Di sebalik beberapa insiden berkenaan, pihak berkuasa mengakui sambutan tersebut tetap menjadi detik bersejarah buat kelab itu dengan majoriti besar penyokong meraikannya secara selamat.
Namun, limpahan penyokong yang luar biasa itu meninggalkan kesan sampah sarap serta botol kosong bertaburan di jalan raya.



