am@hmetro.com.my
Shah Alam: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menzahirkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada Lembaga Tabung Haji (TH) atas kejayaan cemerlang menerima Labaytum Diamond Award dua tahun berturut-turut bagi musim haji 1447H/2026M daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.
Istana Alam Shah menerusi satu kenyataan memaklumkan, baginda menyifatkan pengiktirafan berprestij itu sebagai bukti jelas kepada kecekapan, profesionalisme dan komitmen tinggi seluruh warga TH dalam mengurus serta menyelaras operasi haji Malaysia di Makkah Al-Mukarramah dan Madinah Al-Munawwarah.
Baginda bertitah bahawa kejayaan itu bukan sahaja membanggakan TH malah turut mengharumkan nama Malaysia dan memperkukuhkan reputasi negara sebagai peneraju dalam pengurusan ibadah haji yang sistematik, cekap serta berteraskan prinsip-prinsip syariah.
“Baginda sendiri pernah menunaikan ibadah haji sebanyak dua kali serta beberapa kali mengerjakan ibadah umrah melalui bimbingan TH dan berdasarkan pengalaman peribadi tersebut, baginda menzahirkan penghargaan terhadap mutu perkhidmatan, kebajikan dan pengurusan yang disediakan oleh TH yang disifatkan sebagai amat baik, tersusun serta sentiasa mengutamakan keselesaan dan keselamatan jemaah,” menurut titah kenyataan itu, hari ini.
Menerusi titah kenyataan sama, Sultan Sharafuddin turut mengimbas kembali sejarah penubuhan TH yang dicetuskan oleh Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid, seorang tokoh ilmuwan dan ekonomi tersohor negara.
“Melalui pemikiran jauh beliau pada tahun 1959, satu model simpanan dan pelaburan patuh syariah diwujudkan bagi membantu orang Melayu lslam menyimpan wang secara terancang untuk menunaikan ibadah haji tanpa perlu menjual aset atau berhutang.
“Visi beliau ternyata telah membantu jutaan orang Melayu Islam menunaikan Rukun Islam kelima dengan kaedah yang sistematik,” jelas kenyataan itu.
Dalam pada itu, baginda turut merakamkan penghargaan kepada jemaah haji Malaysia yang sentiasa menunjukkan disiplin, adab dan akhlak yang tinggi sepanjang berada di Tanah Suci.
Titah baginda, sikap tertib, kerjasama yang baik serta kepatuhan kepada peraturan yang ditunjukkan oleh jemaah Malaysia sering menjadi contoh dan mendapat pujian daripada pihak berkuasa Arab Saudi serta jemaah antarabangsa dari pelbagai negara.
“Baginda percaya bahawa kecemerlangan yang dicapai pada musim haji tahun ini adalah hasil kerjasama erat antara pihak pengurusan TH khususnya Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain serta petugas-petugas haji dan jemaah sendiri yang sentiasa mengutamakan semangat kebersamaan serta memelihara nama baik negara.
“Baginda turut menzahirkan keyakinan bahawa TH akan terus mengekalkan kecemerlangan serta berusaha secara berterusan untuk menambah baik operasi dan mutu perkhidmatannya dari semasa ke semasa.
“Baginda berharap institusi tersebut akan terus menjadi kebanggaan negara dan kekal komited dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada Dhuyufurrahman demi kemaslahatan ummah serta kesejahteraan umat Islam seluruhnya,” menurut kenyataan itu lagi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




