AFC cadang hapus jawatan presiden kehormat FAM

AFC cadang hapus jawatan presiden kehormat FAM

KONFEDERASI Bolasepak Asia (AFC) mencadangkan supaya jawatan presiden kehormat tidak lagi dimasukkan dalam Statut Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) 2026 kerana disifatkan tidak lagi selari dengan amalan tadbir urus bola sepak moden.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John berkata, jawatan berkenaan pernah menjadi amalan dalam struktur organisasi bola sepak termasuk Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan AFC sebelum ini, namun kini tidak lagi diguna pakai susulan perubahan statut serta penambahbaikan tadbir urus.

“Dahulu jawatan itu memang wujud dan digunakan secara meluas termasuk oleh FIFA dan AFC.

“Namun dalam bola sepak moden, struktur statut sudah berubah dan kedudukan seperti itu tidak lagi relevan,” katanya.

Cadangan itu merupakan antara 94 artikel yang disyorkan dalam draf Statut FAM 2026 yang akan dibentangkan pada Kongres Luar Biasa FAM, Khamis ini.

Ketika ini, jawatan presiden kehormat FAM disandang bekas Presiden FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin yang dilantik pada kongres luar biasa tahun lalu.

Dalam pada itu, Windsor turut menjelaskan, AFC mencadangkan rombakan lebih menyeluruh terhadap struktur jawatankuasa tetap FAM, dengan penekanan terhadap pelantikan berasaskan kepakaran dalam bidang masing-masing.

Menurutnya, antara bidang utama yang dicadangkan termasuk pengurusan stadium, keselamatan, integriti, pengadilan dan jawatankuasa perubatan, yang perlu dipengerusikan oleh individu berpengalaman dalam sektor berkenaan.

“Pendekatan baharu ini bertujuan memastikan setiap jawatankuasa diketuai oleh mereka yang benar-benar mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata pemilihan pengerusi Kongres Luar Biasa FAM akan ditentukan oleh kongres itu sendiri, dengan calon boleh dicalonkan daripada mana-mana badan berkaitan termasuk FIFA atau AFC.

Pada Januari lalu, kesemua ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi penggal 2025-2029 meletakkan jawatan secara kolektif dan sukarela.

Keputusan itu dibuat secara sebulat suara dengan mengambil kira tanggungjawab organisasi serta sebagai langkah berhemah susulan beberapa isu semasa yang mendapat perhatian umum, termasuk isu pemain warisan, bagi memastikan integriti FAM terus terpelihara.

Scroll to Top