Sudah tujuh tahun berlalu, namun misteri kehilangan Mohammad Ashraf Hassan atau lebih dikenali sebagai Acap masih terus menjadi tanda tanya ramai.
Di sebalik usaha pencarian yang tidak pernah padam, ahli keluarga Acap menerusi satu perkongsian di Facebook tampil mendedahkan pengalaman pahit apabila mendakwa pernah berdepan individu yang cuba mengambil kesempatan atas keadaan mereka ketika itu.
Keluarga Acap dakwa pernah diperas perawat
Menerusi perkongsian dibuat Denny Lang, dia menjawab persoalan segelintir pihak yang sering bertanya mengapa keluarga Acap tidak meminta bantuan pihak tertentu atau berjumpa individu tertentu untuk membantu usaha pencarian.
Menurutnya, keluarga mereka sendiri tidak tahu siapa yang benar-benar boleh membantu dalam situasi tersebut, selain tidak mampu untuk bertanya kepada semua pihak
Dalam pendedahan itu, Denny mendakwa dia pernah disyorkan untuk meminta bantuan daripada seorang perawat. Namun selepas beberapa ketika, individu tersebut didakwa meminta wang sebanyak RM18,000.
Saya pernah disyorkan untuk meminta bantuan dari seorang perawat. Setelah berbual beberapa ketika dia minta duit sebanyak 18k. Ada satu perawat menceritakan kehebatan dia jumpa keluarga yang mana akhirnya memeras wang dari keluarga kami beribu ringgit.
Bukan itu sahaja, Denny turut mendakwa ada seorang perawat yang kononnya bercerita mengenai kehebatannya berjumpa keluarga tertentu, namun akhirnya didakwa memeras wang daripada keluarganya sehingga mencecah beribu ringgit.
Denny juga mendakwa terdapat pihak yang meminta keluarganya menyediakan kenduri di puncak bukit dengan anggaran kos sekitar RM6,000.

Lebih mengejutkan, ada juga individu didakwa mengatakan keluarga Acap perlu mengupah mereka sekiranya mahu Acap ditemui semula.
Menurut dakwaan itu, kos permulaan bagi proses ‘scan’ adalah sebanyak RM3,000, manakala RM13,000 lagi diminta untuk proses membawa keluar.
Denny turut mendakwa ada pihak yang menganggap mereka berhak mengenakan caj perkhidmatan selepas dipanggil oleh keluarganya.
Menurut Denny, masih banyak lagi dakwaan pemerasan yang berlaku terhadap keluarganya, namun mereka memilih untuk berdiam diri dan bersabar kerana mahu terus memberi fokus kepada usaha pencarian Acap.
Dalam masa sama, Denny mendakwa pihak polis Kampar ketika itu mengetahui beberapa perbuatan yang disifatkannya sebagai berniat jahat dan pernah berhubung terus dengannya berhubung perkara tersebut.
Bagaimanapun, selepas berbincang dengan ahli keluarga dan mengambil kira keadaan yang kritikal pada waktu itu, mereka membuat keputusan untuk tidak mendedahkan individu terlibat serta perkara berkenaan kepada pihak berkuasa.
Komandan atau OCPD polis Kampar ketika waktu itu menghidu beberapa perbuatan niat jahat pemerasan ini dan berhubung terus dengan saya berkenaan perkara ini. Setelah berbincang dengan ahli keluarga dan ambil kira keadaan situasi kritikal ketika itu kami ambil keputusan tidak mendedahkan individu dan perkara ini kepada pihak berkuasa.
Namun begitu, Denny menegaskan bukan semua pihak yang tampil membantu mempunyai niat tidak baik.
Untuk rekod, Acap dilaporkan hilang pada 23 Mac 2019 selepas menyertai acara Gopeng Ultra Trail di Perak. Kehilangannya pernah mencetuskan perhatian ramai apabila pelbagai usaha mencari dan menyelamat dilakukan, namun sehingga kini misteri tersebut masih belum menemui jawapan.
Sebelum ini, keluarga Acap dilaporkan tidak pernah berputus asa dan terus berusaha mencari petunjuk mengenai kehilangan Acap walaupun operasi rasmi mencari dan menyelamat telah dihentikan.
Pssttt! Apa pun, kita doakan agar keluarga Acap terus kuat dan semoga misteri kehilangan Acap akhirnya terjawab suatu hari nanti.
Kredit: Sinar Harian | Facebook Denny Lang
Reaksi netizen di Facebook, X, dan Instagram.
** Selain dari Whatsapp Channel, dapatkan kemaskini Oh! Media setiap hari terus ke emel melalui langganan percuma di bawah.
Arini, Editor-In-Chief di Oh! Media, merupakan penulis sepenuh masa yang pakar dalam menghasilkan artikel berkaitan isu viral dan trending di media sosial, memastikan pembaca sentiasa mendapat maklumat yang terkini dan menarik.




