Malaysia gantung import udang Thailand

Malaysia gantung import udang Thailand
Malaysia gantung import udang Thailand

Sebanyak lima spesies udang dari negara jiran itu disekat kemasukannya ke Malaysia. Foto Khaosod English.

BANGKOK – Malaysia mengenakan kawalan lebih ketat terhadap import makanan laut dari Thailand termasuk menggantung sementara kemasukan lima spesies udang dari negara jiran itu susulan pertikaian berhubung piawaian keselamatan makanan antara kedua-dua negara.

Langkah yang berkuat kuasa mulai 1 Jun itu melibatkan udang harimau hitam, udang putih, udang pisang, udang coklat dan udang biru, yang merupakan antara produk utama eksport industri udang Thailand.

Menurut Pejabat Hal Ehwal Komersial Thailand di Kuala Lumpur, pihak berkuasa Malaysia memaklumkan sekatan tersebut dilaksanakan bagi memperkukuh perlindungan keselamatan makanan negara.

Bagaimanapun, langkah itu turut dilihat sebagai tindak balas balas terhadap syarat import yang dikenakan Thailand sebelum ini ke atas produk makanan laut Malaysia.

Perkembangan itu susulan tindakan Jabatan Perikanan Thailand yang menjalankan pemeriksaan terhadap siakap import dari Malaysia dan mendakwa mengesan isu berkaitan sisa residu dalam produk berkenaan.

Penemuan tersebut mendorong pihak berkuasa Thailand memperketatkan pemeriksaan ke atas import siakap Malaysia.

Sumber di pusat pemeriksaan kastam Sadao di wilayah Songkhla dilaporkan berkata, siakap Malaysia tidak memasuki Thailand melalui pintu sempadan Sadao dan Padang Besar sejak beberapa bulan lalu selepas gagal memperoleh kelulusan daripada Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Thailand.

Selain itu, penternak ikan tempatan Thailand turut mendakwa produk import dari Malaysia yang dijual pada harga lebih rendah menjejaskan daya saing pengeluar domestik.

Dalam masa sama, Malaysia turut memperkenalkan syarat lebih ketat terhadap import siakap dari Thailand apabila setiap penghantaran kini perlu disertakan sijil analisis makmal bagi mengesahkan pematuhan kepada standard keselamatan makanan negara.

Pihak berkuasa Malaysia menjelaskan penggantungan import udang Thailand dibuat berdasarkan prinsip timbal balas, dengan merujuk kepada sekatan yang sebelum ini dikenakan Thailand terhadap produk udang Malaysia.

Larangan import itu akan terus berkuat kuasa sehingga pihak berkuasa Thailand memberikan maklum balas lengkap terhadap pertanyaan Malaysia berhubung piawaian keselamatan makanan yang dibangkitkan.

Menurut laporan akhbar Thailand, Khaosod English, pihak berkuasa Malaysia akan menilai semula langkah tersebut sebelum memutuskan sama ada sekatan berkenaan akan ditarik balik atau dipinda. – Agensi

Scroll to Top