Insiden timpa Eriksen ibarat 'roller coaster' – De Boer

Insiden timpa Eriksen ibarat 'roller coaster' – De Boer

AMSTERDAM: Jurulatih Belanda, Frank de Boer mengakui malam sebelum aksi pembukaan Euro 2020 menentang Ukraine ibarat ‘roller-coaster’ buat pasukannya selepas menyaksikan bekas pemainnya, Christian Eriksen mengalami jantung terhenti mengejut atau ‘cardiac arrest’ ketika aksi Denmark bertemu Finland.

“Saya terpaksa meninggalkan bilik,” kata De Boer yang melatih Eriksen ketika bersama Ajax pada awal kerjaya pemain berkenaan.

“Saya bekerja selama lima tahun dengan Christian dan ada pemain dalam pasukan saya yang masih bermain bersamanya atau mempunyai hubung baik dengannya ketika beraksi bersama Ajax.

“Ia adalah malam seperti roller-coaster. Kami merancang untuk mengadakan mesyuarat taktikal, tetapi terpaksa menjadualkannya semula kerana saya tidak mahu bercakap mengenai bola sepak.”

Belanda dengan beberapa pemain sama ada yang pernah bermain bersama Eriksen di Amsterdam atau beraksi dengannya ketika ini berjaya mengatasi emosi mereka dengan menewaskan Ukraine 3-2 dalam aksi sulung Kumpulan C, awal pagi tadi yang menyaksikan Denzel Dumfries muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan.

Penyokong di Arena Johan Cruyff mempamerkan sepanduk dengan mesej ‘Stay strong Eriksen’ sebagai tanda sokongan buat pemain Denmark itu.

Ketika perlawanan, tonggak pertahanan, Daley Blind mengalirkan air mata apabila dikeluarkan pada babak kedua perlawanan.

Blind beraksi dengan Eriksen ketika bersama Ajax dan pada Disember 2019 dia menjalani pembedahan jantung.

“Daley sangat beremosi kerana dia mengalami masalah jantung sebelum ini.

“Sehingga hari ini, Christian adalah rakan baiknya dan ia adalah normal apabila dia sangat beremosi,” kata De Boer. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top