Kuala Lumpur: Pemergian adiguru kraf tenun songket Terengganu, Allahyarham Zainab @ Ngah Mamat adalah kehilangan besar kepada dunia kraf negara, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Fahmi menerusi hantaran di Facebook hari ini berkata jasa dan sumbangan Zainab dalam memelihara, mengangkat dan memartabat kraf songket tenun akan sentiasa dikenang khususnya dalam usaha memastikan khazanah budaya bangsa terus hidup dan dihargai oleh generasi seterusnya.
“Takziah saya ucapkan buat keluarga Allahyarham Hajah Zainab binti Mamat, adiguru kraf songket tenun Terengganu yang amat dihormati.
“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham, mengampunkan segala dosanya dan menempatkan roh beliau dalam kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah,” katanya
Terdahulu, berita duka pemergian tokoh kraf negara berusia 86 tahun itu dikongsikan Muzium Kraf Kuala Lumpur menerusi hantaran di Facebook.
Menurut hantaran itu, Zainab merupakan seorang tokoh dan pakar rujuk yang begitu besar jasanya dalam memperkayakan industri kraf tanah air khususnya dalam bidang kraf tenunan songket.
“Allahyarham bukan sahaja seorang tokoh unggul tetapi juga sangat rapat dengan warga industri. Sumbangan idea dan jasa Allahyarham akan terus dikenang sebagai seorang legenda yang tiada galang gantinya,” menurut hantaran itu.
Zainab terkenal dengan menghasilkan tenun songket berkualiti tinggi. Hasil tenunan songket beliau bukan sahaja sering mendapat perhatian daripada pihak istana, malah beliau pernah menghasilkan kain songket untuk pakaian pengantin diraja Brunei.
Selain menghasilkan samping songket untuk lelaki, beliau turut menghasilkan sarung, selendang dan persalinan untuk wanita termasuk pakaian pengantin.
Pada 2002 Kraftangan Malaysia telah mengiktiraf beliau sebagai Tokoh Kraf Negara sebagai menghargai jasa dan sumbangan beliau dalam seni kraf songket tenun.
Sementara itu, di KUALA TERENGGANU, cucu kepada Zainab, Mohd Asbullah A Wahab, 41, berkata arwah neneknya meninggal dunia awal pagi tadi akibat sakit tua, di kediamannya di Kampung Bukit Depu, di sini.
Mohd Asbullah berkata jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Depu selepas solat asar.
Allahyarham Zainab yang dilahirkan di Kampung Gelung Gajah, Kuala Terengganu, meninggalkan enam anak iaitu lima perempuan dan seorang lelaki.
Beliau mula berkecimpung dalam bidang tenunan songket sejak kecil dan songket yang dihasilkannya turut menjadi pilihan golongan diraja dari dalam dan luar negara untuk persalinan bagi majlis keramaian, perkahwinan dan istiadat istana.
Antara produk kraf tenunan songket yang dihasilkan ialah samping, sarung, selendang serta set pengantin, alas meja, hiasan dinding, beg tangan dan hiasan kepala.
© New Straits Times Press (M) Bhd




