PRN Johor: UMNO tangguh mesyuarat bahagian, sayap ke Julai ini

PRN Johor: UMNO tangguh mesyuarat bahagian, sayap ke Julai ini

Kuala Lumpur: UMNO menangguhkan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian serta sayap Wanita, Pemuda dan Puteri tahun ini untuk memberi tumpuan penuh kepada persiapan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata keputusan itu, yang dipersetujui Majlis Tertinggi parti, bertujuan memastikan ahli di semua peringkat dapat membantu gerak kerja bagi menghadapi PRN berkenaan.

“Sehubungan dengan itu, bagi memastikan mesyuarat perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri yang perlu dilaksanakan selaras dengan Perlembagaan UMNO, ia akan dilaksanakan secara serentak di seluruh negara pada 17 hingga 19 Julai ini.

“Mesyuarat Perwakilan Bahagian pula akan diadakan pada minggu berikutnya, iaitu dari 24 hingga 26 Julai,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Pada Isnin lepas, Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor berkuat kuasa 1 Jun selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail.

PRN Johor pada 2022 menyaksikan UMNO-Barisan Nasional menang 40 daripada 56 kerusi yang dipertanding diikuti Pakatan Harapan dengan 12 kerusi, Perikatan Nasional (tiga) dan MUDA (satu).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top